Buku KPP lama tidak sesuai untuk bakal pemandu: Ka Siong
KUALA LUMPUR - Penggunaan semula buku Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) lama oleh bakal pemandu adalah tidak sesuai mengambil kira peraturan dan persekitaran jalan raya yang sentiasa berubah dan dinamik, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menurut beliau, ini kerana terdapat beberapa perkara berkaitan undang-undang dan pemanduan sentiasa perlu dikemaskini dalam buku KPP dari semasa ke semasa.
"Penggunaan semula buku KPP tersebut bagi pelajar-pelajar baharu adalah tidak memenuhi kehendak dan hasrat kerajaan untuk menjadikan buku tersebut sebagai rujukan tetap setiap pemandu atas jalan raya," katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, di sini pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Senator Lau Hui Yew yang bertanyakan mengapa setiap pelajar institut memandu dikehendaki membeli sebuah buku KPP yang berharga RM13 dan mengapa buku lama tidak boleh digunakan semula.
Ka Siong berkata, buku KPP telah distrukturkan mengikut keperluan pembelajaran teori dan praktikal pemanduan selamat yang juga rujukan asas dan wajib kepada semua bakal pemandu serta pelatih yang boleh digunapakai secara berterusan.
Kata beliau, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan setiap pemilik lesen mempunyai satu buku KPP sebagai satu daripada inisiatif kerajaan ke arah melahirkan pemandu lebih berhemah, kompeten serta celik undang-undang dan peraturan jalan raya.
"Setiap buku KPP yang dibeli dilengkapkan dengan nombor siri bagi setiap satu buku kepada setiap calon. Calon perlu membeli buku KPP tersebut bagi mendapatkan nombor siri untuk menduduki Ujian Bahagian I," jelasnya.
Menjawab soalan tambahan Hui Yew mengapa buku tersebut tidak disediakan dalam bentuk salinan lembut dan diberikan secara percuma, Ka Siong berkata, pihaknya akan mengkaji perkara berkenaan.
"Oleh kerana ingin mencantumkan dari segi teori dan praktikal, berdasarkan kepada satu buku KPP dan dengan nombor siri itu diletakkan maka kalaulah kita hendak menanda seseorang itu dengan nombor siri maka kita kena buat cara itu (dalam bentuk buku).
"Tetapi ada kemungkinan alam maya ini kalau ia boleh dipermudahkan dan menjimatkan rakyat kita akan mengkaji. Ini adalah sebahagian daripada subset kita untuk kita membuat pendigitalan perkhidmatan JPJ," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!