Sinar Harian lancar misi bantuan banjir
SHAH ALAM - Sinar Harian melancarkan Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters dengan serta-merta di seluruh negara bagi membantu golongan yang terjejas akibat banjir besar.
Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, dengan pelancaran misi ini, pihaknya telah menunda tarikh program Konvoi #RasuahBusters di Negeri Sembilan dan Melaka pada 23 Disember ini.
Menurutnya, Sinar Harian telah terpanggil untuk membantu mangsa banjir yang terkesan di seluruh negara.
"Misi ini bermula serta-merta di Selangor terlebih dahulu sebelum disusuli Pahang dan kemudian ke negeri-negeri lain yang terjejas.
"Sinar Harian sebagai penggerak inisiatif ini mendapat sokongan daripada Rasuah Busters yang akan membantu menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama menyertai misi ini.
"Kita juga telah duduk semeja dengan pelbagai NGO untuk misi ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya akan menggembleng tenaga kerja yang akan memfokuskan bantuan membersihkan pusat komuniti serta sekolah selain memastikan tempat-tempat ini berada di tahap yang baik bagi membina semula komuniti di kawasan terbabit.
Katanya, dari sudut bantuan, pihaknya akan memfokuskan kepada keperluan penting seperti lampin pakai buang dan tuala wanita.
"Selain turut mengagihkan suplemen kesihatan, kita juga akan membekalkan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19.
"Malah, bantuan peralatan dan perkakasan sekolah juga akan dibantu bagi meringankan beban keluarga yang terjejas," ujarnya.
Tambah Nik Justin, pihaknya juga berharap semua masyarakat akan terus bangkit selepas dilanda bencana alam ini.
Dalam pada itu, menerusi program Sinar Live bertajuk Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters yang dihoskan oleh Haizir Othman, Nik Justin berkata, mana-mana individu yang ingin menyertai misi atau menyalurkan sebarang maklumat berkenaan bencana banjir ini boleh menghubungi talian hotline 019-2133315.
“Kami amat mengalu-alukan sukarelawan-sukarelawan dan orang perseorangan yang ingin membantu serta menghulurkan bantuan atau bersama-sama kami ke tempat-tempat yang kami akan tuju, membuat bantuan dan sebagainya.
“Kami buka hotline ini juga sebagai satu platform komunikasi terus antara rakyat dengan Sinar Harian dan pada masa sama kita membantu antara satu sama lain,” ujarnya.
Nik Justin turut memaklumkan mana-mana pihak atau individu yang mahu menghulurkan sumbangan Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd 564276529068.
Jelasnya, sumbangan yang disalurkan orang ramai ini akan dilaporkan dan dikemaskini menerusi media sosial dan akhbar Sinar Harian pada setiap hari
“Secara asasnya apa yang kita lakukan di luar sana contohnya membaik pulih dewan komuniti atau rumah sesebuah keluarga. Kita akan menggunakan sumbangan yang telah didermakan daripada rakyat.
“Kami telus dengan apa yang diamanahkan kepada kita dan di sini lah istimewanya Sinar Harian.
“Kita akan maklum berapa kita dapat dan apa yang akan kita lakukan dengan wang itu kerana penyampaiannya datang daripada kita sendiri,” jelasnya.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!