Bakal presiden baharu Chile, pemimpin paling muda di dunia
SANTIAGO - Bekas pemimpin gerakan protes, Gabriel Boric pada Ahad memenangi Pilihan Raya Presiden Chile sekali gus menewaskan pesaingnya daripada pihak berhaluan kanan, Jose Antonio Kast.
Pengumuman itu dibuat selepas Boric memperoleh 55.86 peratus undi berbanding Kast yang meraih 44.14 peratus undi berdasarkan daripada 90 peratus kiraan undi yang dibuat.
Susulan kemenangannya, pemimpin berhaluan kiri berusia 35 tahun itu berikrar untuk memperluaskan hak sosial dan menjaga kebajikan rakyat, namun dengan tanggungjawab fiskal.
Sebelum ini, beliau berjanji untuk mengurangkan waktu bekerja mingguan daripada 45 jam kepada 40 jam selain mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan kepada golongan wanita.
Selain itu, Boric juga berhasrat untuk memperbaharui sistem pencen dan jagaan kesihatan bagi menggalakkan akses kepada golongan miskin.
Bekas aktivis itu pernah menyokong protes antikerajaan pada tahun 2019 dan mendorong referendum yang membawa kepada penggubalan semula Perlembagaan Chile.
Difahamkan, Boric bakal menjadi pemimpin politik paling muda di dunia dan Presiden Chile paling muda dalam sejarah. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!