Bomba Rantau Panjang pindah lima mangsa banjir positif Covid-19
RANTAU PANJANG - Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang membantu memindahkan lima mangsa banjir yang disahkan positif Covid-19 pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, lima pesakit itu melibatkan dua wanita, dua lelaki dan seorang kanak-kanak.
"Kesemua pesakit positif Covid-19 berusia empat hingga 60 tahun itu datang dari beberapa buah kampung di sini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, setiap anggota bertugas memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika memindahkan kelima-lima mangsa banjir berkenaan.
Beliau berkata, proses pemindahan berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepertimana yang diarahkan kerajaan.
Katanya, apabila proses pemindahan itu selesai, kerja-kerja sanitasi lori yang digunakan itu terus dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!