Berita palsu, tiada tanah runtuh di Rawang - Polis
GOMBAK - Polis Daerah Gombak menafikan kejadian tanah runtuh yang didakwa berlaku di Rawang seperti yang ditularkan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 22 saat yang memaparkan kejadian tanah runtuh di sebatang jalan.
"Sehingga kini, kita tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian tersebut dan menafikan kejadian tanah runtuh seperti yang didakwa berlaku di Rawang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Zainal Mohamed berkata, pihaknya menasihatkan orang awam supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab.
"Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan berita tidak benar dengan niat untuk menakut-nakutkan serta membangkitkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!