Johor hantar misi bantuan Southern Volunteers ke Selangor
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor mengambil langkah segera dengan menghantar Southern Volunteers bagi membantu mangsa banjir di Selangor.
Ketua misi bantuan, On Jabbar berkata, misi bantuan terbabit dilaksanakan sejajar dengan titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Ahad yang mahu Southern Volunteers dihantar ke kawasan yang terjejas banjir.
Menurutnya, seramai 37 sukarelawan terdiri daripada golongan belia terlibat dalam misi bantuan bagi meringankan beban mangsa di kawasan terjejas banjir.
"Saya sudah hubungi Setiusaha Kerajaan Negeri Selangor, bertanyakan situasi semasa dan juga bantuan yang diperlukan. Kami diminta agar meletakkan barang sumbangan di pusat pengumpulan bencana banjir di Hulu Langat.
"Antara barang sumbangan tersebut ialah lampin pakai buang, tuala wanita, roti, biskut dan air minuman yang dianggarkan bernilai RM50,000," katanya pada sidang akhbar selepas acara pelepasan Misi Bantuan Southern Volunteers di Nusajaya pada Isnin.
Mengulas lanjut, On berkata, misi sukarelawan bergerak ke Selangor pada tengah hari akan pulang semula ke Johor pada sebelah petang selepas selesai menghantar bantuan.
"Ini adalah misi bantuan pertama kami ke Selangor. Bagi bantuan seterusnya, Souhtern Volunteers merancang untuk menghantar sukarelawan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.
"Bagaimanapun perancangan perlu dilakukan terlebih dahulu dari segi logistik dan penginapan sukarelawan serta keperluan lain," jelasnya.
Dalam pada itu, salah seorang sukarelawan yang ditemui Wan Mohd Yusof Wan Husein, 32, melahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di Selangor.
"Saya sendiri cukup sedih melihat paparan video banjir di Selangor yang dikongsi di media sosial.
"Diharap mangsa-mangsa banjir tabah dan saya sebagai sukarelawan Southern Volunteers akan membantu menyampaikan barang sumbangan," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi sukarelawan, M Sivamani, 37, mengakui dia cukup sedih melihat situasi banjir yang berlaku di Selangor.
"Ketika ini saya yakin tenaga anak muda amat diperlukan bagi membantu mangsa banjir. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bermuafakat dan berganding bahu menghulurkan bantuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!