Rombak Harimau Malaya
HAJAT Malaysia bagi mengulangi pencapaian tiga tahun lalu mara ke pentas final berkecai selepas tewas 1-4 kepada Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Nasional, Singapura pada Ahad.
Kegagalan itu bukan sahaja memeritkan buat skuad Harimau Malaya, malah turut mengundang rasa kecewa peminat dan penyokong bola sepak tanah air.
Maka, ramai pihak khususnya dalam kalangan pemerhati dan pengkritik sukan tempatan yang bersuara meminta satu langkah drastik dilakukan dengan kadar segera bagi ‘menyelamatkan’ Harimau Malaya.
Bagi bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh, beliau berpandangan, Harimau Malaya perlu melakukan satu reset secara total dalam mengangkat kembali bola sepak Malaysia.
“Sebenarnya kegagalan Malaysia ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan jika dilihat daripada persiapan mereka sebelum kejohanan Piala AFF bermula.
“Awal-awal lagi kita sudah nampak kepincangan dengan persiapan yang agak terhad. Ini ditambah pula dengan keputusan membawa 24 pemain berbanding 30 pemain yang dibenarkan.
“Situasi bertambah parah apabila ada pemain positif Covid-19 selain masalah kecederaan tonggak utama. Saya rasa itu sudah cukup menggambarkan situasi tenat dalam pasukan negara.
“Sekarang saya lihat, apa yang cuba dibawa Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) sebelum ini sudah terkubur. Mereka perlu bermula semula daripada awal jika mahu melihat Malaysia melangkah jauh,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Dalam edisi kali ini, Harimau Malaya gagal melepasi peringkat kumpulan selepas hanya meraih enam mata daripada dua kemenangan dan tewas dua kali.
Ia sekali gus meranapkan impian untuk layak ke final buat kali kedua berturut-turut selepas skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tewas 2-3 secara agregat di tangan Vietnam pada edisi 2018.
Pada masa sama, Shebby berkata, FAM perlu mengambil langkah drastik dengan mengikut jejak langkah negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia yang kini dibimbing jurulatih asing.
“Dengan apa yang terjadi kepada pasukan negara ketika ini, saya rasa kita perlu barisan kejurulatihan baharu. Kita kena pandang ke luar sebab sudah terlalu lama berada di dalam.
“Tengok macam mana yang dilakukan Vietnam, Indonesia, Thailand dan Singapura yang berjaya melangkah ke separuh akhir. Kalau kita masih mengharap kepada tempatan jadi kita juga masih akan berada ditakuk lama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shebby memberitahu, Harimau Malaya harus ditunjangi barisan pemain muda sebagai aset penting memacu pasukan pada masa akan datang.
“Kalau kita lihat, Vietnam di bawah kendalian Park Hang-seo bermula dengan pemain bawah usia 23 tahun. Begitu juga dengan Thailand ketika dibimbing Kiatisuk Senamuang.
“Jadi saya rasa mungkin kita kekalkan beberapa pemain seperti Safawi (Rasid), Akhyar (Rashid) Luqman (Hakim Shamsudin) dan Arif Aiman (Hanapi) bagi menghadapi tugasan akan datang.
“Sudah tentu fokus utama untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia. Jadi ini masanya untuk merombak semula pasukan sebelum kelayakan (Piala Asia 2023) tahun depan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!