Harimau Malaya tumbang sebab projek naturalisasi
KEGAGALAN skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura dikatakan berpunca daripada projek naturalisasi yang dilancarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2018.
Bekas penggempur berbisa Harimau Malaya, Safee Sali berkata, program itu tidak membuahkan hasil dan ia terbukti apabila skuad kendalian Tan Cheng Hoe gagal melepasi peringkat kumpulan.
“Tahniah Garuda (Indonesia). Kita harus mengakui kekalahan. Harimau Malaya perlu membuat post mortem untuk mengenal pasti masalah yang ada.
“Bagi saya, sejak projek pemain naturalisasi diperkenalkan, ini menjadi punca terbesar pasukan negara,” tulis Safee dalam laman sosial Instagram miliknya.
Setakat ini, tiga pemain luar negara telah dinaturalisasikan bagi memperkasa Harimau Malaya - bermula Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula.
Seorang lagi bekas penyerang Harimau Malaya, Mohd. Zaquan Adha Abd Radzak menganggap persiapan singkat menjadi punca utama Harimau Malaya ‘diganyang’ Indonesia.
“Secara jujurnya mungkin dari segi pemilihan pemain. Saya tidak menyalahkan pemain dan jurulatih yang ada sekarang. Kita kalah, kalah sama-sama dari bawah, pemain, pihak kejurulatihan dan pengurusan.
“Kita kena ‘cuci’ balik apa masalah kita. Pemilihan pemain, persiapan tidak cukup, minit permainan pemain yang dipanggil tidak cukup. Banyak faktor sebenarnya.
“Kalau cakap sekarang A sampai Z, esok pun tidak habis tetapi kalau tanya saya, minit permainan pemain yang dipanggil tidak cukup,” katanya ketika menjadi tetamu Astro Arena pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!