Tercicir sekolah akibat tiada kad pengenalan

Orang ramai yang mengenali Noraini diminta tampil bagi membantu memudahkan urusan memproses kad pengenalan Mohamad Amir Syafuan.
Orang ramai yang mengenali Noraini diminta tampil bagi membantu memudahkan urusan memproses kad pengenalan Mohamad Amir Syafuan.
A
A
A

MERBOK - Seorang remaja di Kampung Bujang di sini meluahkan hasrat mahu meneruskan persekolahannya yang tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Bapa angkat remaja terbabit, Mohamad Shawal Mohd Said, 52, berkata, dia tidak dapat menyekolahkan Mohamad Amir Syafuan, 14, berikutan gagal melengkapkan permohonan mendaftar persekolahan peringkat sekolah menengah seperti mana yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurutnya, kira-kira 11 tahun lalu, Mohamad Amir yang berusia tiga tahun ketika itu telah diambil dari jagaan ibu kandungnya, Noraini Abu Hasan, 43, di sebuah rumah dalam ladang kelapa sawit di Sitiawan, Perak pada 15 April 2010.

"Noraini ketika itu berusia 29 tahun telah menyerahkan Mohamad Amir yang dilahirkan pada tarikh 11 September 2007 di Hospital Seri Manjung.

"Disebabkan kami tiada anak perempuan, jadi kami bersetuju untuk membesarkan Mohamad Amir dengan penuh kasih sayang selain membantu keluarga itu yang sedang dalam kesempitan," katanya.

Mohamad Amir Syafuan menunjukkan gambar ibu kandungnya, Noraini Abu Hasan yang terputus hubungan sejak tujuh tahun lalu.
Mohamad Amir Syafuan menunjukkan gambar ibu kandungnya, Noraini Abu Hasan yang terputus hubungan sejak tujuh tahun lalu.

Mohamad Shawal berkata, hubungan mereka sekeluarga dengan Noraini pada mulanya berjalan baik dan sering bertemu sebelum terputus hubungan sejak tujuh tahun lalu.

Masalah timbul apabila usia Mohamad Amir mencecah 12 tahun di mana kad pengenalannya tidak dapat diproses kerana tidak mendapat pengesahan kelahiran daripada ibu kandungnya.

Artikel Berkaitan:

"Puas kami mencarinya di merata tempat termasuk di kampung asal Noraini di Bukit Malut, Langkawi, namun belum dapat menjejakinya," jelasnya.

Dia berkata, Mohamad Amir kini tidak dapat meneruskan persekolahan memandangkan tidak memiliki kad pengenalan.

Gambar Noraini yang disimpan sejak beberapa tahun lalu dikatakan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Gambar Noraini yang disimpan sejak beberapa tahun lalu dikatakan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Saya kasihankan dia kerana teringin nak ke sekolah macam kawan-kawan yang lain, kami juga risau tentang masa depannya jika tidak ke sekolah.

"Jika nak ke mana-mana, dia perlu membawa sijil kelahiran termasuklah ketika nak ke hospital dan terbaharu ke pusat suntikan vaksin," ujarnya.

Menurut Mohamad Shawal, pencarian ibu kandung amat penting untuk masa depan Mohamad Amir dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubunginya talian 013-2095239.

Kenyataan yang dibuat turut bertujuan memudahkan urusan pihak berkenaan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!