Lapan pelatih akademi Chelsea berdepan Brentford
CHELSEA dijangka menurunkan sebahagian besar pelatih akademinya bagi mengharungi aksi suku akhir Piala Liga berdepan Brentford di Stadium Komuniti Brentford pada Khamis.
Perkara itu didedahkan oleh pengendali The Blues, Thomas Tuchel yang berharap agar aksi Piala Liga itu tidak ditangguhkan berikutan sebahagian besar pemain utama The Blues disahkan positif Covid-19.
Justeru Tuchel berharap agar pemain yang diturunkan kelak dapat beraksi dengan baik bagi mencatatkan kejayaan pada aksi suku akhir berkenaan.
“Saya membuat keputusan untuk menyenaraikan lapan pemain akademi kami dalam senarai kesebelasan pemain nanti gara-gara jangkitan Covid-19 kepada ramai pemain utama.
“Sebenarnya, sebelum ini saya ada mencadangkan agar aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Wolverhampton Wanderers pada Ahad ditangguhkan berikutan tujuh pemain utama kami disahkan positif Covid-19, tetapi ditolak oleh pihak Premier League (PL) dan menyaksikan perlawanan berkesudahan 0-0.
“Oleh itu, kali ini saya kekal dengan keputusan untuk meneruskan aksi Piala Liga berdepan Brentford, walaupun bakal menurunkan sebahagian besar pemain dari akademi kita sendiri,” katanya.
Untuk rekod, lapan pemain akademi Chelsea berkenaan melibatkan Harvey Vale, Josh Brooking, Alfie Gilchrist, Dion Rankine, Xavier Simons, Joe Haigh, Jay Wareham dan Lewis Hall Sebel dijangka beraksi berdepan The Bees.
Mengulas lanjut, Tuchel berkata, sebenarnya dia tidak gembira dengan keputusan PL untuk meneruskan aksi EPL pada ketika peningkatan kes-kes Covid-19 ketika ini.
“Bagi saya, ia (keadaan), masih tidak selamat. Walaupun kita bercakap mengenai melindungi pemain dan suasana yang selamat, tetapi ia sebenarnya tidak.
“Oleh itu, tidak menghairankan selepas ini lebih banyak kes-kes positif dilaporkan kelak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!