Polis buru tiga lelaki hentak cermin kereta
KOTA BHARU - Polis Kelantan memburu tiga lelaki bermotosikal yang bertindak menghentak cermin sebuah kereta dengan topi keledar di Jalan Lundang di sini pada Isnin.
Kejadian berlaku ketika mangsa iaitu seorang peniaga berusia 31 tahun memandu sebuah kereta jenis Perodua MyVi di lokasi tersebut pada jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila suspek tidak berpuas hati kerana dikatakan kereta berkenaan hampir terhimpit motosikal yang mereka tunggang.
“Semasa kejadian, mangsa bersama isteri dan seorang anak perempuan berusia empat tahun dalam perjalanan untuk pergi berniaga.
“Tiga lelaki tidak dikenali yang memunggang dua motosikal mengekori kereta mangsa dan ketika kenderaaan berkenaan berhenti di persimpangan lampu isyarat, kesemua suspek bertindak memukul cermin bahagian kiri belakang kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis berikutan bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya.
“Kejadian tiada menyebabkan sebarang kemalangan atau kerosakan terhadap kereta milik mangsa yang menjadi sasaran suspek.
“Usaha mengesan suspek-suspek giat dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan cuai,” katanya.
Rakaman video kejadian tersebut turut tular di laman sosial sejak Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!