Negeri Sembilan umum bantuan RM1,000 buat mangsa banjir

Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas banjir. - Foto Bernama
Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas banjir. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan bantuan RM1,000 untuk ketua isi rumah melibatkan 96 lokasi yang terjejas akibat banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan dengan peruntukan awal sebanyak RM3 juta itu akan disalurkan segera selewat-lewatnya minggu depan selepas menerima laporan penuh daripada Pengerusi Jawatankuasa Bencana.

Bagaimanapun katanya, data tepat keseluruhan mangsa belum diterima tetapi dianggarkan 3,000 keluarga terjejas.

"Kerajaan negeri juga akan membantu membina rumah baharu kepada mereka yang kehilangan rumah akibat banjir seperti yang berlaku kepada lima keluarga di Kampung Puom, Jelebu," katanya pada sidang akhbar di kediaman rasminya pada Selasa.

Jelas Aminuddin, bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang musnah, sebanyak RM1 juta diperuntukkan.

"Kerajaan negeri akan terus membantu meningkatkan tahap infrastruktur dan Syarikat Air Negeri Sembilan(SAINS) juga sedang bertindak.

"Kita juga sedia maklum ada kawasan tak dapat internet disebabkan elektrik tak dapat disambung pada menara sedia ada. Kita harap masyarakat dapat bersabar," katanya.

Ujarnya, pihaknya akan menggunakan semua aset kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir sehingga selesai.

Artikel Berkaitan:

Ditanya dakwaan netizen di media sosial yang pihak berwajib lambat bertindak menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di sesetengah kawasan, Aminuddin berkata, beliau percaya anggota keselamatan dan pelbagai agensi cuba melakukan yang terbaik.

Beliau mengakui bantuan sukar dilakukan kerana jumlah anggota keselamatan termasuk bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang terhad selain tragedi luar biasa.

"Saya harap masyarakat menghargai mereka. Kita perlu lihat usaha membantu mangsa banjir ini adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terutama anggota keselamatan termasuk pertubuhan bukan kerajaan(NGO) yang memberi sumbangan dan bakti kepada mangsa-mangsa banjir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!