Lebih 3.3 juta penduduk dunia maut akibat Covid-19: WHO
GENEVA - Lebih 3.3 juta penduduk dunia kehilangan nyawa akibat Covid-19 tahun ini, lebih banyak berbanding kematian disebabkan HIV, malaria dan batuk kering pada tahun 2020, kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus berkata, Covid-19 terus meragut kira-kira 50,000 nyawa di seluruh dunia setiap minggu dan 2022 sepatutnya menjadi tahun untuk menamatkan pandemik.
Tedros berkata demikian pada sidang media hibrid pertama diadakan WHO dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, lapor Agensi Anadolu.
Beliau turut menyentuh mengenai varian terbaharu Covid-19, Omicron dan menurutnya, sudah ada bukti konsisten bahawa Omicron merebak lebih cepat berbanding varian delta.
Terdapat juga kematian yang tidak dilaporkan dan berjuta-juta korban disebabkan kekangan yang dihadapi perkhidmatan kesihatan, katanya.
Sebulan lepas, Afrika melaporkan jumlah kes terendah dalam tempoh 18 bulan.
"Minggu lalu, negara ini melaporkan jumlah kes keempat tertinggi dalam seminggu setakat ini. Afrika kini menghadapi gelombang jangkitan yang tinggi, didorong sebahagian besarnya oleh varian Omicron.
"Semua kita sedang dilanda pandemik. Kita semua mahu meluangkan masa bersama rakan dan keluarga. Kita semua mahu kembali normal," katanya.
Namun, Tedros berharap masyarakat perlu lebih berhati-hati terutamanya menjelang musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu, sebaiknya elak daripada menganjurkan majlis atau perhimpunan besar-besaran.
"Negara dunia harus lebih berhati-hati dan menyekat orang ramai dalam tempoh perayaan ini. Menangguhkan penganjuran sedemikian dalam tempoh ini akan menyelamatkan lebih banyak nyawa," tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!