Peniaga maut kereta rempuh tiang elektrik

Keadaan kereta dipandu mangsa di lokasi kejadian. - Foto ihsan pembaca
Keadaan kereta dipandu mangsa di lokasi kejadian. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Sultan Mahmud berhadapan Istana Nur Nadhirah), di sini pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, mangsa, Soo Chong Liang, 39, tercampak keluar kira-kira lapan meter dari kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dipercayai selepas kereta Honda Accord yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar tiang elektrik.

"Kenderaan berkenaan tercampak kira-kira 50 meter di Taman Awam Batu Buruk dan melanggar dua pokok kelapa. Akibat itu juga, mangsa yang dalam perjalanan dari Pusat Bandar Kuala Terengganu menghala ke lampu isyarat Batu Buruk, di sini tercampak keluar dari kenderaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Ismail, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah ( HSNZ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!