Kutip sampah selesai hujung minggu

Operasi pengutipan barangan domestik dan pukal di kawasan banjir telah bermula pada Sabtu di lapan kawasan PBT yang terjejas akibat banjir. (Gambar kecil: Ramli)
Operasi pengutipan barangan domestik dan pukal di kawasan banjir telah bermula pada Sabtu di lapan kawasan PBT yang terjejas akibat banjir. (Gambar kecil: Ramli)
A
A
A

SHAH ALAM - Operasi mengutip sampah domestik dan pukal di kawasan terjejas akibat bencana banjir di Selangor dijangka selesai hujung minggu ini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya menambah 847 aset meliputi 345 buat lori kompaktor dan 302 lori Roll On Roll Off (RORO) di lapan kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula Selasa untuk membantu operasi tersebut.

Menurutnya, penambahan tersebut dibuat di beberapa lokasi PBT kritikal seperti Subang Jaya, Kajang, Shah Alam, dan Klang.

"Seramai 801 orang pekerja mengendalikan kutipan untuk lapan kawasan PBT tersebut, 1311 pekerja untuk pembersihan dan pengutipan sampah pukal untuk operasi pascabanjir bermula seawal jam 5 pagi sehingga 11 malam.

"Kami menyasarkan untuk menyelesaikan operasi pascabanjir pada hujung minggu ini dan ia tidak akan berlarutan hingga sebulan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat KDEBWM di sini pada Selasa.

Ramli
Ramli

Dalam pada itu, Ramli berkata, pihaknya turut menerima kebenaran daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menggunakan sebidang tanah di Bukit Kemuning sebagai stesen pemindahan sementara bagi menempatkan sampah pukal dari kawasan berdekatan seperti dari Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini dan kawasan berhampiran lain.

Ujarnya, keluasan tapak tersebut mencukupi untuk menampung sampah pukal dari kawasan berhampiran sebelum ia dipindahkan ke pusat pelupusan sampah seperti di Jeram, Dengkil, Sepang dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah usaha jangka pendek dan ia perkara yang bagus kerana pergerakan lori kompaktor dan lori RORO lebih cepat, jadi penduduk tidak mengeluh melihat timbunan barangan di hadapan rumah mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, selain daripada pembersihan dan pengutipan sampah pukal akibat banjir, pihaknya juga perlu membuat kutipan domestik di 193 buah pusat pemindahan sementara di Selangor.

Ramli berkata, pihaknya turut berdepan kelewatan untuk mengutip sampah pukal yang dilakukan secara harian kerana banyak jalan ditenggelami air dan menghalang pergerakan lori KDEBWM ke tapak pelupusan sampah.

"Setakat Isnin, terdapat 10 peratus aset KDEBWM yang rosak akibat banjir meliputi 56 buah lori kompaktor dan 85 buah lori RORO rosak akibat banjir.

Malah, lori-lori hanya dapat memasuki beberapa kawasan yang mengalami banjir pada Selasa, bila air sudah surut.

"Objektif kita adalah untuk mengutip harta benda yang basah dan rosak akibat banjir sebanyak mungkin kerana orang awam mula meletakkan barang mereka di hadapan rumah dan dalam tong RORO yang disediakan," katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, pihaknya turut mengakui terdapat kelewatan dalam operasi pengutipan sampah domestik dan pukal di negeri tersebut akibat kesukaran memasuki kawasan banjir.

Beliau merangkap Pengerusi Pembersihan Pasca Banjir Selangor memohon maaf bagi pihak KDEBWM dan berharap pelan tindakan yang digariskan oleh pihak tersebut dapat membantu selesaikan isu pembersihan kutipan pepejal dihadapi oleh penduduk Selangor terjejas akibat musibah banjir.

"Bagi melancarkan kutipan di kawasan yang tidak terjejas, pihak kami menasihatkan dan memohon agar penduduk untuk meletakkan sisa domestik di tong sampah atau kebuk sampah manakala sampah pukal di hadapan rumah atau di tong RORO yang disediakan.

Orang ramai boleh menghubungi KDEBWM di talian 019-375 9592, 019-375 3980, atau menerusi aplikasi WhatsApp kepada 019-2742 824 bagi sebarang aduan kelewatan atau keciciran kutipan sisa pepejal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!