Isteri suspek militan letup diri bersama anak
MEDAN - INDONESIA. Usaha memujuk hampir 10 jam bagi menenangkan isteri suspek pengganas, Husain atau Abu Hamzah sia-sia, apabila wanita terbabit memilih meletupkan diri bersama seorang anak lelakinya yang berusia dua tahun di rumah mereka di Sibolga, Sumatera Utara, semalam.
Sebelum kejadian tragis itu, polis mengepung rumah terbabit bagi meminta wanita itu menyerah diri.
Difahamkan, usaha memujuk wanita itu turut melibatkan Husain yang merupakan anggota militan Jemaah Ansharut Daulah (JAD) serta beberapa toloh agama dengan menggunakan pembesar suara masjid.
Kejadian itu berlaku ketika Sibolga sibuk membuat persiapan untuk menerima kunjungan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, Ahad ini.
Ketua Biro Informasi Awam, Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Republik Indonesia, Brigadier Jeneral Dedi Prasetyo berkata, sebelum membunuh diri, wanita itu sempat mencampakkan bom ke arah pintu ketika dua anggota polis cuba merempuh masuk ke dalam rumah tersebut.
Katanya, letupan itu mencederakan seorang anggotanya.
Dedi berkata, usaha memujuk wanita itu berakhir kira-kira pukul 1.20 pagi (waktu tempatan) selepas suspek bertindak meletupkan diri.
"Malang sekali kami gagal memujuknya, padahal kami sudah mengingatkan di rumah itu ada anak kecil," kata Dedi.
Menurut media tempatan, polis menemukan kira-kira 30 kilogram bahan letupan di kawasan berkenaan.
Husain diberkas polis di Lampung pada Selasa selepas mendapat maklumat daripada dua suspek militan yang ditangkap sekitar Sibolga.
Mereka dikatakan bersimpati dan menyokong militan Daesh di Iraq dan Syria.
Kesemua mereka didakwa merancang serangan menyasarkan pasukan keselamatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!