Pencemaran Sg Chohong: Semua ladang patuhi peraturan

Mahadon (tengah) bersama Dr Aida (dua, kiri) ketika mengadakan pemeriksaan di salah sebuah ladang ayam di Tangkak.
Mahadon (tengah) bersama Dr Aida (dua, kiri) ketika mengadakan pemeriksaan di salah sebuah ladang ayam di Tangkak.
A
A
A

TANGKAK - Sebanyak 19 ladang ternakan ayam dan babi di daerah ini diperiksa PBT Tangkak susulan pencemaran di Sungai Chohong, Melaka, baru-baru ini.

Pegawai Daerah, Mahadon Marnin berkata, kesemua ladang ternakan itu diperiksa dalam ops bersepadu yang disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Tangkak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Tangkak, Pejabat Perkhidmatan Veterinar Johor serta Pejabat Tanah daerah.

Katanya, kajian awal setakat ini mendapati kesemua ladang ternakan itu mematuhi piawaian digariskan oleh agensi berkaitan.

“Macam semalam, (kelmarin) saya juga sertai operasi ini di dua ladang ayam di Tangkak. Dan hasil pemantauan awal, saya kagum kerana pengusaha memenuhi garis panduan ditetapkan.

“Malah, kesemua ayam diletakkan dalam persekitaran bersih dengan ruang legar turut dilengkapi penghawa dingin. Pengusaha mengakui berusaha mematuhi syarat-syarat ditetapkan agensi berkaitan kerana mereka juga bimbang kegagalan mengikut garis panduan akan menyukarkan mereka untuk memperbaharui lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, operasi turut disertai Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor, Dr Aida Muhid dan Pegawai Veterinar Tangkak, Mohd Nazri Omar.

Menurut Mahadon, pihaknya juga mengambil kesemua jenis sampel yang berada di ladang ternakan itu bagi membuat kajian terperinci.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua sampel membabitkan haiwan, najis serta air kolam yang digunakan diambil. Sebagai contoh, bagi operasi ladang ayam, mereka memang perlu sediakan tiga buah kolam yang mana kolam air pertama untuk cuci pada peringkat awal, disusuli kolam kedua dan kolam ketiga yang kebiasaannya air itu jadi lebih jernih.

“Jadi sampel ketiga-tiga air kolam di setiap ladang ini telah diambil sebelum kita arahkan ia dibersihkan dan dirawat untuk diganti dengan yang baharu. Tujuannya sebab nak pastikan adakah tahap kimia baharu dengan sebelum ini berbeza,” katanya.

Mahadon berkata, kesemua sampel diambil akan diperiksa jabatan berkaitan sebelum laporan penuh dibentang dijangka mengambil masa kira-kira 30 hari.

Terdahulu, beliau turut membuat pemeriksaan di Sungai Chohong dan mendapati tahap kualiti air mulai stabil.

“Kami turut membuat lawatan ke sungai berkenaan dan kami lihat pencemaran semakin kurang. Air sungai berwarna hitam dan putih sebelum ini juga tidak lagi kelihatan.

“Mungkin kesedaran orang ramai untuk menjaga kebersihan sungai mulai timbul selepas pencemaran teruk yang berlaku.

“Bagaimanapun, kita tetap teruskan pemantauan dan jika terdapat ladang yang dikesan menjadi punca kepada pencemaran ini, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!