Mangsa banjir Selangor dijangka terus meningkat
SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di Selangor dijangka terus bertambah susulan peningkatan paras air di beberapa daerah seperti Kuala Selangor dan Sepang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini seramai 30,632 individu daripada 4,672 keluarga telah ditempatkan di 203 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Selangor.
Menurutnya, jumlah tersebut tidak termasuk sebahagian mangsa yang memilih untuk tinggal di kediaman masing-masing walaupun bantuan mencari dan menyelamat (SAR) telah sampai kepada mereka.
"Usaha memujuk mereka telah dilakukan tetapi ada mangsa memilih tinggal di rumah masing-masing.
"Susulan itu, bekalan makanan telah diberikan kepada mereka untuk kegunaan pada waktu kecemasan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas isu banjir Selangor di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Selasa.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan negeri buat masa ini adalah menyelamatkan nyawa, menghulurkan bantuan kepada mangsa di PPS dan membersihkan kawasan perumahan mangsa terjejas.
Katanya, setelah proses tersebut selesai, fokus seterusnya akan ditumpukan kepada analisis skala kerosakan infrastruktur, pemulihan infrastruktur termasuk pengukuhan sistem tebatan banjir terutamanya kawasan-kawasan berisiko tinggi.
"Bagi memastikan semua usaha dilaksanakan secara bersasar dan optimum, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan menyelaras skop kerja ditetapkan.
"Ini untuk memastikan setiap lokaliti menerima bantuan secukupnya memandangkan tragedi ini tidak bertumpu kepada satu lokaliti sebaliknya hampir ke seluruh negeri," katanya.
SIDANG MEDIA KHAS SITUASI BANJIR DI SELANGOR
— Amirudin Shari (@AmirudinShari) December 21, 2021
21 Disember 2021
*Ini adalah sebuah bebenang (thread) pic.twitter.com/w0oMjqzOXm
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!