Anwar gesa PM tubuh jawatankuasa, tambah baik kesiapsiagaan bencana

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya segera menubuhkan jawatankuasa diraja termasuk jawatankuasa di Parlimen bagi menambah baik tahap kesiapsiagaan negara menghadapi bencana.

Beliau berkata, tahap kesiapsiagaan negara untuk menghadapi bencana dilihat masih lemah khususnya dalam menangani bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri pada minggu lalu.

“Perubahan iklim dan tahap kesedaran kita yang lemah terhadap peranan dan kepentingan alam sekitar akan menyaksikan peningkatan yang amat dahsyat terutamanya dalam aspek keberlakuan bencana alam di masa hadapan.

“Kita tidak mampu untuk memikir dan menyiasat apa yang menjadi punca kelemahan kita hujung minggu yang lalu.

“Perdana Menteri sekarang ini mesti ambil tindakan untuk segera menubuhkan jawatankuasa diraja termasuk jawatankuasa Parlimen dalam menambahbaik tahap kesiapsiagaan bencana,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Setakat Isnin, seramai 60,150 mangsa banjir telah terjejas melibatkan lapan negeri iaitu Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Pada masa sama, seramai 17 mangsa juga dilaporkan terkorban dalam bencana tersebut setakat Isnin dengan 11 daripadanya adalah di Selangor manakala enam di Pahang.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga dituntut untuk membantu rakyat mendapatkan semula rumah mereka yang dibadai banjir dan tidak memandang remeh terhadap proses pemulihan selepas banjir.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan mesti punyai sikap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang tinggi kepada orang ramai dan diminta untuk mengadakan sidang media harian bagi mengemaskini situasi semasa banjir dan langkah menyelamat.

“Saya juga ingin mendesak kerajaan Persekutuan untuk membetulkan ketempangan dalam Majlis Keselamatan Negeri Selangor di mana Menteri Besar mesti dikembalikan kuasa dan peranannya dalam mengemudi krisis ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!