‘Kami jual bakat bukan tagih simpati’

Kumpulan buskers yang ahlinya daripada OKU penglihatan menjadikan jalanan sebagai platform meraih pendapatan dengan menyajikan persembahan memukau bukan sekadar meraih simpati.
Kumpulan buskers yang ahlinya daripada OKU penglihatan menjadikan jalanan sebagai platform meraih pendapatan dengan menyajikan persembahan memukau bukan sekadar meraih simpati.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Garis panduan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk aktiviti busking di ibu negara dengan menghadkan penggunaan beberapa jenis alat muzik, menjejaskan ‘periuk nasi’ golongan ini khususnya OKU yang bergantung penuh dengan hasil aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun penggiat seni jalanan tidak mempunyai pilihan selain akur dengan undang-undang yang ditetapkan sejak tahun lalu itu.

Kesannya, pendapatan mereka terjejas berbanding sebelum itu mengambil kira faktor mungkin gagal memberi kepuasan kepada penonton yang menyaksikan persembahan mereka.

Retmelo Buskers yang terdiri daripada pemain muzik buta, antara yang menerima kesan itu setelah melalui insiden tindakan penguatkuasaan apabila alat muzik drum yang digunakan mereka disita tahun lalu.

Pengasasnya, Mohd Najib Md Nasir, berkata, pihaknya akur dengan undang-undang yang ditetapkan namun mahu DBKL mengkaji semula perkara itu dengan memberi kelonggaran kepada mereka agar dapat menyajikan hiburan yang lebih berkesan kepada penonton.

"Kami hanya cari makan, bukannya mahu popular. Apabila alat muzik digunakan terhad, bunyi juga tak puas dengar.

"Mereka yang terlibat dengan penetapan garis panduan ini perlu orang yang ada pengalaman..letakkan diri mereka sebagai penonton.

"Jika kepuasan penonton tak capai macam mana nak dapat kutipan yang memberangsangkan? Kami busking untuk hiburkan orang. Bukan buat kutipan atas dasar kasihan..sampai bila nak harapkan simpati?,”katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Tambah Najib, terdapat juga kes pelanggaran undang-undang dibuat oleh kumpulan lain bukan OKU namun yang menerima kesan adalah mereka disebabkan lokasi sama.

"Contohnya Retmelo sudah lama bertapak membuat persembahan di hadapan KFC Bukit Bintang. Apabila tempat itu mula mendapat sambutan, ada kumpulan lain yang turut mahu jadikan lokasi itu ‘pentas’ mereka..kami pun beri laluan. Kadang kala kami busking sampai jam 10 malam sahaja.

"Selepas itu bila ada kumpulan lain yang ambil alih lokasi, mungkin mereka ada langgar peraturan sehingga bunyi terlampau kuat. Orang buat aduan, tapi apabila tindakan mahu diambil, kami yang ada ketika itu, kami yang kena,” katanya. Jangan sekat penggunaan dram

Sementara itu, bagi Pengasas Redeem Buskers, Azri Penang, 38, DBKL sepatutnya memberi pilihan kepada penggiat seni jalanan seperti mereka bukannya menyekat terus penggunaan alat muzik tertentu seperti drum.

Azri turut mengakui sejak perlaksanaan undang-undang berkenaan, pendapatan mereka terjejas sehingga 30 peratus.

"Kami adalah kumpulan kekal, sebagai pemain muzik, kami OKU buta memang bergantung 100 peratus dengan aktiviti busking ini.

"Macam berniaga makanan, mesti nak jual yang sedap. Kami jual bakat juga ingin berikan kepuasan kepada penonton. Apabila guna akustik, tak menarik. Pendapatan terjejas,”katanya.

Mengulas mengenai lokasi aktiviti berkenaan jadi halangan, Azri berkata perkara itu boleh dikawal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!