[VIDEO] Banjir termenung sukarkan proses salur bantuan kepada mangsa

Anggota Bomba dan Penyelamat hadir memberi bantuan barangan keperluan kepada para penduduk di Bandar Seri Ehsan pada Selasa, akibat banjir yang melanda di sekitar kawasan tersebut. - Foto Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat hadir memberi bantuan barangan keperluan kepada para penduduk di Bandar Seri Ehsan pada Selasa, akibat banjir yang melanda di sekitar kawasan tersebut. - Foto Bernama
A
A
A

BANTING - Beberapa sukarelawan dari badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang ingin menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan perumahan Bandar Seri Ehsan, di sini berhadapan kesukaran berikutan jalan utama memasuki kawasan perumahan itu masih ditenggelami air.

Tinjauan Bernama pada Selasa mendapati, pihak terbabit terpaksa menggunakan lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bot yang dipinjamkan daripada orang awam, bagi mengangkut barangan itu.

Selain itu, lori tanah terpaksa digunakan bagi membawa mangsa banjir keluar dari kawasan perumahan terbabit.

Sukarelawan MyFundAction Shahidah Othman, 26, berkata, NGO itu membawa kira-kira 1,000 Kotak Rezeki Ummat untuk diedar kepada mangsa terlibat, namun berhadapan kelewatan berikutan masalah logistik.

“Kami sudah dapat kebenaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk masuk ke kawasan perumahan itu. Ada barang yang kami masukkan dalam lori ATM, PDRM dan APM. Ada juga yang kami bawa masuk menggunakan bot.

“Bantuan lambat tiba disebabkan kekangan ini. Kami sukar untuk bawa barang bantuan ke kawasan perumahan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata, Kotak Rezeki Ummat mengandungi barangan makanan dan minuman selain lampin bayi serta tuala wanita.

Sementara itu, selebriti Nadzmie Adhwa Nor Adzmi, 29, bersama isteri Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana berkata, sebagai sukarelawan yang tidak mewakili mana-mana NGO, beliau turut berhadapan masalah sama, namun ia tidak melunturkan semangat prihatin mereka.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bantuan berupa makanan, minuman, lampin dan susu bayi yang menggunakan dana peribadi dan sahabat handai perlu diserahkan kepada mangsa banjir dengan segera, kerana ia merupakan amanah yang diberikan kepada mereka.

“Hari ini kami bekerjasama dengan ‘team Ayer Spot’. Mereka bersama-sama kami turun ke lokasi bawa kami dan bantuan menaiki bot mereka. Alhamdulilah semua barangan telah diserahkan di lokasi pengumpulan barangan bantuan iaitu di pondok Persatuan Penduduk Bandar Seri Ehsan,” katanya.

Wakil penduduk Bandar Seri Ehsan, Nor Azizi Ismail, 47, berkata, kira-kira 9,000 penduduk di kawasan perumahan terbabit bukan sahaja terputus hubungan dan bekalan barangan keperluan, malah berhadapan masalah komunikasi memandangkan stesen pemancar telekomunikasi tidak berfungsi setelah bekalan elektrik terpaksa ditutup sementara.

“Sudah tiga hari kami tiada bekalan elektrik dan rangkaian telefon. Jalan utama ini dinaiki air sejak Jumaat lepas. Namun pada hari Sabtu, kami telah keluarkan golongan wanita khususnya ibu mengandung dan menyusukan anak, kanak-kanak dan warga emas,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!