Jangan buat keputusan terburu-buru
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dinasihatkan tidak terlalu terburu-buru untuk memecat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selepas skuad kendaliannya gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020.
Sebaliknya, badan induk bola sepak negara itu diminta untuk menilai kembali kegagalan tersebut secara holistik sebelum apa-apa keputusan dilakukan berhubung status Cheng Hoe.
Peringatan itu disuarakan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang melihat pertukaran jurulatih hanya akan beri kesan dalam jangka masa pendek.
“Bagi saya, kalau kita tukar jurulatih saya tak nampak ia akan bagi kesan jangka masa panjang. Kalau kita mahu kesan segera mungkin kita boleh lantik jurulatih baharu dan selepas itu, bila main teruk kita tukar lagi jurulatih lain.
“Sebab sekarang apa yang saya lihat FAM kena rungkai beberapa persoalan, antaranya kualiti pemain-pemain negara, program akar umbi dan pelapis yang akan menggantikan senior.
“Sebab yang menjadi penggerak kepada pasukan adalah pemain. Jadi saya rasa kekalahan ini adalah wake up call untuk kita kena pandang jauh dan kena bangkit tampilkan prestasi yang lebih baik lagi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Susulan kekalahan 1-4 kepada Indonesia pada Ahad lalu sehingga mengakibatkan Harimau Malaya terpaksa pulang lebih awal, rata-rata penyokong bola sepak tempatan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap Cheng Hoe.
Mengulas lanjut, Sathianathan berkata, sekiranya FAM berhasrat untuk memecat Cheng Hoe, beliau mencadangkan badan induk itu melantik jurulatih dari luar negara.
“Saya setuju sekiranya FAM mahu ambil jurulatih luar untuk memperkuatkan skuad kebangsaan. Tapi mereka yang diambil itu perlu ada pencapaian yang baik di peringkat antarabangsa terlebih dahulu sebelum dilantik.
“Kita tidak mahu situasi melantik jurulatih import tangkap muat yang pernah berlaku kembali berulang dan akhirnya yang rugi adalah pasukan sendiri,” ujarnya yang juga bekas pengendali Harimau Malaya.
Seorang lagi bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan turut senada dengan Sathianathan bahawa Cheng Hoe tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya atas kegagalan tersebut.
“Saya rasa kalau nak pecat Cheng Hoe itu bukan satu tindakan yang baik. Sebab kita perlu lihat pemain yang dibawa Cheng Hoe adalah pemain yang sama dan orang menguruskan pasukan adalah pengurusan yang sama.
“Jadi kenapa nak salahkan Cheng Hoe sahaja, semua pihak kena terlibat dengan kegagalan ini. Kalau bila kalah kita asyik buang jurulatih, jadi bila masa kita mahu perbaiki kesalahan kita,” ujarnya.
Beliau memberitahu, FAM disaran segera memberi tumpuan penuh kepada pembangunan bola sepak negara yang dilihat kunci kejayaan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
“Kalau kita lihat sebenarnya pasukan seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia tidak ada banyak beza. Apa yang membezakan antara ketiga-tiga pasukan itu dengan skuad kebangsaan kita adalah pembangunan bola sepak.
“Sekarang kelemahan yang ketara pada pemain Malaysia adalah dari segi skill individu. Sebab itu kita agak susah untuk mendapatkan gol terutamanya di attacking third kerana kekurangan skil individu,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!