Harimau Malaya tiada penyerang sejati

Luqman Hakim (kanan) antara penyerang muda berpotensi Harimau Malaya. -Foto: FB FAM
Luqman Hakim (kanan) antara penyerang muda berpotensi Harimau Malaya. -Foto: FB FAM
A
A
A

BARISAN penyerang Harimau Malaya memerlukan lebih banyak minit permainan bagi memastikan mereka sentiasa bersedia tampil lebih kompetitif di pentas antarabangsa, lapor SHAHRIZAL AHMAD ZAINI.

Bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof berkata, kekurangan minit beraksi menjadi antara penyebab penyerang Harimau Malaya gagal menyerlah.

“Sebenarnya kita ada ramai pemain penyerang, tetapi mereka ini dilihat tidak mendapat minit permainan yang seharusnya mereka dapat, sedangkan ia sangat penting kepada mereka.

“Contohnya, macam Luqman Hakim (Shamsudin) yang merupakan seorang pemain muda yang baik. Cuma dia perlu lebih kerap beraksi bersama kelabnya (KV Kortrijk).

“Begitu juga dengan beberapa pemain penyerang yang lain. Saya lihat mereka kurang beraksi dalam liga sehingga menjejaskan prestasi mereka apabila bersama skuad kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Untuk rekod, Nizaruddin merupakan salah seorang penyerang skuad Harimau Malaya yang pernah beraksi dalam saingan Piala Suzuki AFF (sebelum ini dikenali sebagai Piala Tiger).

Bekas pemenang Kasut Emas Liga-M 2009 itu beraksi dalam lima edisi - 2000 di Thailand; 2002 (Indonesia, Singapura); 2004 (Malaysia, Vietnam), 2007 (Singapura, Thailand) dan 2008 (Indonesia, Thailand).

“Selepas Safee Sali dan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), kita memang kekurangan pemain penyerang berkualiti dan ini menyebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tidak ada pilihan memanggil (Guilherme) de Paula (sebagai pemain naturalisasi).

Artikel Berkaitan:

“Macam Shahrel Fikri (Md Fauzi), dia dilihat lebih bertindak sebagai penyerang kedua. Ia berbeza dengan pemain penyerang utama sebelum ini seperti Azman Adnan, Khalid Jamlus, Akmal Rizal Rakhli. Aura tu langsung tak ada,” ujarnya.

Pada masa sama, Nizaruddin berkata, lambakan pemain import dalam Liga-M juga perlu dikaji semula yang secara tidak langsung memberi impak negatif terhadap penyerang tempatan.

“Setiap tahun kita tengok ramai pemain import beraksi dan setiap pasukan pasti menggunakan pemain-pemain import ini berbanding memberikan minit permainan kepada pemain tempatan.

“Jika perkara ini berterusan, ia akan menyebabkan ‘kelahiran’ penyerang tempatan agak terbatas. Jadi saya harap FAM meneliti semula perkara ini bagi mengelak kita ketandusan penyerang berwibawa,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!