Akta 342: Elak kompaun kurang munasabah

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

RAKYAT pasti menarik nafas lega apabila mendapat tahu Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) telah ditangguhkan untuk dibawa ke sidang Parlimen akan datang.

Kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, RUU itu ditangguhkan kerana ada beberapa peraturan dan garis panduan yang masih perlu dikaji semula.

Walaupun kerajaan telah mengambil keputusan untuk menangguhkannya, Akta 342 yang dianggap terlalu keras terhadap pesalah Covid-19 tetap akan dikuatkuasakan, cuma nilai kompaun dan tarikh pelaksanaannya belum dimuktamadkan.

Pada peringkat awal, kerajaan mencadangkan mana-mana individu melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini, manakala bagi syarikat korporat, ia boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta. Cadangan kerajaan itu kemudiannya menerima kecaman dan rasa tidak puas hati, bukan sahaja oleh wakil rakyat pembangkang, malah segenap lapisan masyarakat.

Memang benar kerajaan telah mendengar keluhan dan kebimbangan semua pihak, namun yang penting adalah segala aspek pelaksanaannya diharap tidak akan mengundang implikasi negatif.

Jika nilai kompaun terlalu tinggi dikenakan hanya kerana tidak memakai pelitup muka atau tidak mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki premis, adakah ia tidak mungkin membuka peluang kepada pihak penguat kuasa melakukan salah guna kuasa atau rasuah?

Lebih dikesali apabila timbulnya hukuman berat sebelah antara rakyat biasa dan pemimpin. Kes-kes ‘antara dua darjat’ telah dilaporkan berlaku sepanjang tempoh penguatkuasaan sebelum ini.

Oleh itu, bagi sebarang garis panduan termasuk jenis kesalahan dan nilai kompaun, kerajaan perlulah menyatakan dengan jelas agar setiap pesalah akur serta faham hukuman yang diterima.

Artikel Berkaitan:

Apabila Akta 342 diluluskan kelak, kita berharap ia boleh memuaskan hati semua pihak. Kesihatan awam mesti diutamakan tetapi jangan pula rakyat akhirnya menjadi mangsa keadaan.

Nilai kompaun keterlaluan dan tidak munasabah bukan sahaja mengundang kemarahan orang ramai, malah imej kerajaan tentu terjejas kerana tidak prihatin terhadap nasib rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!