12 jam cuci rumah berlumpur
KUALA SELANGOR - Seorang penduduk di Kampung Bestari Jaya terpaksa mengambil masa lebih 12 jam mencuci rumah dipenuhi lumpur akibat banjir di kampung itu pada Ahad.
Zamri Shahudin, 46, berkata, kerja-kerja pembersihan rumah dilakukan bersama isteri, Mahani Mansor, 38, sejak jam 9 malam Ahad.
Menurutnya, keadaan air banjir yang melimpah masuk ke dalam rumahnya amat teruk kerana meninggalkan kesan lumpur.
"Memang letih apabila terpaksa menimba baldi dan membersihkan persekitaran dan mencuci lantai kesan daripada lumpur yang teruk.
"Kami tiada pilihan selain meneruskan kerja pembersihan rumah kerana ingin pulang semula ke rumah (dari pusat pemindahan) selepas banjir kembali surut," katanya.
Menurut beliau, musibah banjir itu mengakibatkan mereka sekeluarga mengalami kerugian kira-kira RM20,000.
"Banyak barangan rosak dan harta benda musnah termasuklah tiga komputer yang digunakan anak-anak semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Seorang warga emas, Mahamad Sakdun Abdullah, 71, menjelaskan, semasa banjir pada Ahad dia dan isteri, Paridah Mohamad Tahir, 65, tiada di rumah kerana berada di rumah anak mereka di Sungai Buloh.
Mereka bermalam di rumah anak sejak Sabtu susulan perlu menjalani rawatan kesihatan di Hospital Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada Isnin.
"Sepatutnya hari ini (Isnin) saya ke HUKM, tetapi saya lepas dapat maklumat rumah kami ditenggelami air, kami terus pulang ke rumah jam 9 pagi tadi (Isnin).
"Sebaik masuk, rumah sudah dipenuhi lumpur kesan air banjir," katanya.
Mahamad Sakdun berkata, kerja-kerja membersihkan rumah tidak dapat dijalankan sepenuhnya berikutan usianya yang lanjut dan mengalami masalah kesihatan.
"Saya tidak dapat bersihkan rumah sepenuhnya, namun bersyukur apabila dapat bantuan daripada penuntut dan staf Universiti Selangor (Unisel)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!