Kuala Krai: 50 pacuan empat roda, lima lori bawa bantuan ke Selangor
KUALA KRAI - Penduduk Kuala Krai menyediakan 50 pacuan empat roda dan lima buah lori untuk membawa bantuan ke Selangor sebagai membalas budi mereka yang banyak membantu masyarakat di daerah itu dalam kejadian banjir pada 2014.
Penaung Baracudda 4x4 Kuala Krai, Mohd Fadir Hazmi berkata, misi bantuan Selangor-Kuala Krai Balas Budi 2014 itu dibuat bagi meringankan beban rakyat di negeri berkenaan yang terjejas teruk dengan musibah banjir.
"Tujuh tahun lalu, banyak badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dari Selangor yang datang membantu masyarakat di Kuala Krai yang ditimpa bah kuning.
"Sekarang giliran kami pula membalas jasa mereka walaupun kami juga terkesan dengan kejadian banjir susulan musim tengkujuh yang sedang melanda Pantai Timur, namun ia tidak seteruk di Selangor yang boleh dianggap sebagai musibah," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.
Menurutnya, selain Baracudda 4x4 Kuala Krai, misi tersebut turut disertai NGO Task Force dan Info Dalam Kuala Krai (IDKK) sebagai pengantaraan yang akan mengumpul kesemua barangan bantuan hasil sumbangan daripada penduduk di Kuala Krai.
Beliau berkata, sehingga pagi Rabu pihaknya sudah mengumpul pelbagai barangan keperluan seperti pakaian, makanan dan bermacam-macam lagi.
Katanya, mereka menyasarkan lebih banyak lagi bantuan yang akan disumbangkan oleh rakyat di sini bagi menjayakan misi tersebut.
Mohd Fadir berkata, mereka yang ingin berbuat demikian boleh hadir ke pusat pengumpulan barang bertempat di kedai cuci kereta berhadapan Agro Bank Kuala Krai.
"Kami akan bertolak ke Selangor pada petang Khamis dan sumbangan akan diterima sebelum jam 4 petang pada hari tersebut.
"Kepada orang ramai, inilah masanya untuk kita membalas balik budi mereka dengan menghulurkan sumbangan sama ada wang tunai, barangan keperluan atau makanan kepada mangsa banjir di sana," katanya.
Menurutnya, sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi 011-11001091 (Idi Pokdi) atau 010-9090555 (Fadir).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!