Banjir: Tiada koordinasi antara kerajaan Pusat dan negeri

Khairil Annuar Khalid
Khairil Annuar Khalid
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada koordinasi antara kerajaan Pusat dan negeri dalam menghadapi banjir di Selangor dilihat antara kelemahan yang paling ketara berlaku dalam pengurusan bencana di negeri itu.

Timbalan Presiden Malaysia Relief Agency (MRA), Khairil Annuar Khalid berkata, bukan sahaja di peringkat negeri, pengurusan bencana di peringkat daerah juga lemah, yang seharusnya menjadi tanggungjawab Pegawai Daerah untuk mengkoordinasi agensi lain seperti polis, tentera dan Jabatan Kesihatan.

Sedangkan katanya, amaran awal banjir biasanya sudah diketahui seminggu atau dua minggu lebih awal sebelum kejadian banjir besar berlaku.

“Kebanyakan mereka yang terlibat sudah tahu. Jadi, kita perlu adanya polisi dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana ada tanggungjawab kalau di negeri, tanggungjawab Menteri Besar itu sendiri untuk menyelia dan memberitahu apa yang akan berlaku dan apa persediaan antara agensi-agensi. Ini perlu.

“Satu lagi yang kita nampak ialah kita kurang persediaan. Persediaan menghadapi bencana itu tidak ada langsung, maksudnya semua orang tak tahu apa yang perlu dibuat. Ini yang berlaku sekarang ini,” katanya dalam Wacana Sinar Siri 312 bertajuk `Bencana: Bantuan sampai lewat?’.

Wacana Sinar Siri 312 bertajuk `Bencana: Bantuan sampai lewat’ yang dikendalikan moderator, Ismail Adnan (atas, kiri)
Wacana Sinar Siri 312 bertajuk `Bencana: Bantuan sampai lewat’ yang dikendalikan moderator, Ismail Adnan (atas, kiri)

Artikel Berkaitan:

Wacana itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Dr Adlina Suleiman.

Mengulas lanjut, Khairil Annuar berkata, kebanyakan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sudah bersedia untuk menghadapi banjir berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas.

Di MRA sendiri jelasnya, persediaan juga sudah dibuat sejak dua minggu lalu dan mesyuarat berkaitan pengurusan bencana sudah dilakukan sejak sebulan lalu.

“Bagaimanapun sebagai NGO, kita tiada keupayaan untuk pergi secara menyeluruh. Kita sudah menyediakan barangan di gudang untuk dihantar secepat mungkin.

“Antara keterbatasan kita adalah sebagai sebuah NGO, kita tidak dipanggil untuk menyertai mesyuarat koordinasi bagaimana untuk menyalurkan bantuan ini dan di mana pusat pemindahannya,” jelasnya.

Tambahnya, kawasan Lembah Klang juga sudah lama tidak berdepan dengan keadaan banjir sebegini menyebabkan berlakunya kekalutan seperti mana yang berlaku sekarang.

Berbanding di Pahang misalnya, kerajaan negeri, agensi berkaitan dan penduduk lebih bersedia kerana mereka tahu apa yang perlu dibuat, walaupun mangsa yang terlibat dengan pemindahan lebih banyak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!