Kerani disamun, wang RM120,000 lesap

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KENINGAU - Seorang kerani wanita cedera akibat ditikam manakala wang berjumlah RM120,000 milik syarikat yang dibawanya dilarikan penjenayah dalam kejadian di sebuah tempat letak kereta berhampiran Terminal Bas Tambunan-Keningau, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 24 tahun mengalami kecederaan di bahagian sebelah kanan perut akibat ditikam menggunakan pisau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.34 petang memaklumkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang rakan lelaki berusia 20 tahun menaiki sebuah kenderaan dan parkir di kawasan berkenaan.

"Mangsa bersama rakannya telah bergerak ke sebuah bank di Pekan Tambunan untuk memasukkan wang syarikat ke dalam bank.

"Bagaimanapun, ketika tiba berhampiran bank, mangsa mengatakan tertinggal Mykad miliknya dan berpatah balik seorang diri ke tempat letak kereta," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Nor Rafidah, sebaik mangsa berada di dalam kereta, dia didatangi seorang lelaki tidak dikenali dari arah belakang lalu

menghentakkan kepalanya di stereng kereta sebelum menikamnya menggunakan pisau dan melarikan wang tunai itu.

Artikel Berkaitan:

"Wanita itu kemudian menghubungi rakannya sebelum dibawa ke Hospital Tambunan untuk rawatan awal dan kemudian dirujuk ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut. Mangsa kini berada dalam keadaan stabil," katanya.

Nor Rafidah berkata, kes disiasat di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat mengesan suspek dengan melancarkan Op Tutup di sekitar Pekan Tambunan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menyalurkan segera kepada pihak polis di IPD Keningau untuk tindakan lanjut," katanya.