Arteta kagum aksi Nketiah

Nketiah (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan. Foto: EPA
Nketiah (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan. Foto: EPA
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta kagum dengan aksi dipamerkan bintang muda Eddie Nketiah yang dilihat membantu kemenangan 5-1 ke atas Sunderland pada aksi suku akhir Piala Liga di Emirates pada Rabu.

Menurut Arteta, kemampuan pemain berusia 22 tahun itu meledak hatrik pada perlawanan berkenaan bakal menyaksikan dia lebih kerap diturunkan pada perlawanan-perlawanan akan datang.

“Ia (kemenangan) cukup mengagumkan. Hebat. Kami kini berada di separuh akhir dan itulah yang berlaku pada hari ini (Khamis) apabila kami bermula dengan baik dengan menjaringkan dua gol, setelah itu kami leka sedikit sebelum bangkit pada separuh masa kedua untuk memenangi perlawanan.

“Nketiah telah melakukan tugasnya dengan baik sebagaimana yang sering dilakukannya pada sesi latihan iaitu menjaringkan gol dan perkara ini membuatkan kami mahu mengekalkannya di Emirates kerana setiap kali diturunkan dia pasti memberikan yang terbaik.

“Bagaimanapun, dia (Nketiah), hanya mahu lebih minit permainan. Agak sukar memenuhi permintaannya itu namun kami akan cuba merealisasikan permintaannya itu dalam usaha memastikannya terus berada di Emirates, lagi pun dia kini seorang pemain penting bagi kami,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan Nketiah membuka jaringan buat The Gunners pada minit ke-17 sebelum Nicolas Pepe menyumbat gol kedua pada minit ke-27.

Pemain Sunderland, Nathan Broadhead kemudiannya berjaya merapatkan jurang pada minit ke-31 sebelum Nketiah meledak dua gol pada minit ke-49 dan minit ke-58 sebelum pemain gantian Charlie Patino menjaringkan gol kelima pada masa kecederaan.

Mengulas aksi Patino, Arteta berkata, pemain berusia 18 tahun itu telah mempamerkan aksi yang baik pada perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, Patino juga pasti tidak dapat melupakan jaringan yang dihasilkannya pada perlawanan berkenaan.

“Secara keseluruhannya, dia (Patino), telah beraksi dengan baik pada debutnya bersama Arsenal. Dia juga berjaya menjaringkan gol,” katanya.