Pasir Salak Half Marathon tarik ramai penyertaan

Sebahagian peserta Pasir Salak Half Marathon 2019 bergambar selepas tamat larian - Foto Ihsan Penganjur
Sebahagian peserta Pasir Salak Half Marathon 2019 bergambar selepas tamat larian - Foto Ihsan Penganjur
A
A
A

KAMPUNG GAJAH - Seramai 1,000 peserta Pasir Salak Half Marathon 2019 berjaya menamatkan larian mereka mengikut kategori 21 kilometer (km), 10km dan 5km, di Kompleks Bersejarah Pasir Salak, Ahad lalu.

Malah acara larian yang memasuki edisi kedua penganjurannya ini bukan sahaja menarik lebih banyak penyertaan tetapi juga membantu memperkenalkan Pasir Salak kepada pengunjung luar.

Penganjur Pasir Salak Half Marathon dari Team Pacat, Arman Arshad berkata, pihaknya berharap Kerajaan Perak dapat melihat peluang yang wujud dengan penganjuran acara berkenaan untuk memperbanyakkan kerjasama dalam memeriahkan acara tersebut tahun hadapan.

"Kita mula mengadakan Pasir Salak Half Marathon ini pada tahun lepas dan menerima penyertaan seramai 800 peserta bagi tiga jarak yang dipertandingkan dan Alhamdulillah tahun ini penyertaan lebih dari tahun lalu.

"Sebenarnya kami menerima banyak lagi permohonan penyertaan tetapi pihak penganjur telah menetapkan hanya 1,000 peserta sahaja menyertai acara dan Alhamdulillah ia berjalan lancar," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas acara berkenaan berlangsung.

Menurut Arman, Pasir Salak Half Marathon diadakan untuk memperkenalkan kepada umum sejarah yang ada di Pasir Salak mengenai keberanian pahlawan sebelum ini menentang penjajah demi kemerdekaan.

"Pasir Salak inilah bermulanya Malaysia moden menentang penjajah tetapi bila ada di antara rakyat negara ini tidak tahu apa itu Pasir Salak dan sejarahnya kita perlu lakukan sesuatu supaya ia menjadi terkenal.

"Kerana itu, saya berharap pihak Kerajaan Perak akan bekerjasama serta memberi sokongan untuk penganjuran Pasir Salak Half Marathon 2020 yang menyasarkan sekurang-kurangnya 1,500 penyertaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mengulas mengenai acara berkenaan, Arman berkata, seramai 600 peserta berdaftar bagi acara 21km, manakala selebihnya acara 10km dan 5km yang dilepaskan berperingkat seawal 6.45 pagi.

"Apa yang menarik adalah laluan acara half marathon iaitu kategori 21km di mana peserta akan berlari di kawasan sawah padi dan seterusnya memasuki jalan kampung bersebelahan Sungai Perak.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Pasir Salak Half Marathon 2019 dan tahniah kepada semua peserta," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!