Pemergian Osman satu kehilangan buat Johor, Bersatu: Muhyiddin
JOHOR BAHRU - Pemergian Datuk Osman Sapian satu kehilangan buat Johor dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Melahirkan rasa dukacita dan terkejut atas berita itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu turut menzahirkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka bersabar dalam berhadapan dengan saat-saat yang menyedihkan ini.
"Secara peribadi saya telah lama mengenali Allahyarham dan sama-sama aktif dalam politik di Johor terutama ketika penubuhan Bersatu beberapa tahun dahulu.
"Sepanjang saya mengenali Allahyarham, dia seorang yang kuat, kental, tabah dan tidak mudah mengaku kalah," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Sebagai sahabat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Muhyiddin turut merasa sayu atas kehilangan Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor itu.
"Tenanglah di sana sahabatku. Marilah sama-sama kita panjatkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
"Saya memohon kepada semua untuk sama-sama membaca dan sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham," tambah bekas Perdana Menteri itu.
Osman, 70, meninggal di rumah anak lelakinya di Damansara, dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas, di sini, selepas zohor.
Pada 13 Oktober lalu, Osman yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas diserang strok.
Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum pada 2018, mulai 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!