Hampir 50 peratus majikan tidak patuh Akta 446: Awang


Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim menjawab soalan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim menjawab soalan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 46.71 peratus atau 17,592 daripada 37,662 majikan yang diperiksa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sehingga 30 November lalu didapati tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, daripada jumlah ketidakpatuhan itu, sebanyak 13,085 atau 74.38 peratus arahan pematuhan telah dikeluarkan JTKSM.

"Begitu juga 3,289 atau 18.7 peratus arahan baiki, tambah baik ataupun penambahbaikan iaitu ada lompang-lompang yang masih perlu diperbaiki.

"Sebanyak 49 kes atau 0.28 peratus arahan pindah kerja telah dikeluarkan iaitu notis dikeluarkan oleh KSM (Kementerian Sumber Manusia) ke atas majikan dan penyedia penginapan," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Senator Khairil Nizam Khirudin mengenai tahap pematuhan majikan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) (Pindaan 2019) dan langkah diambil bagi memastikan majikan yang menggajikan pekerja asing khususnya mematuhi akta tersebut.

Awang berkata, JTKSM juga telah membuka 1,169 kertas siasatan hasil daripada operasi ketika pelanggaran oleh majikan manakala 817 kompaun telah dikeluarkan daripada operasi berkenaan dan 134 pendakwaan dibuat terhadap majikan yang ingkar terhadap akta tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, KSM menggalakkan penubuhan penginapan berpusat pekerja bagi membantu majikan pada masa hadapan iaitu penginapan berpusat kepada pekerja asing dan pekerja tempatan yang perlu menjadi satu kewajipan kepada majikan apabila akta itu dilaksanakan.

"Jadi inilah bagi kita mengawal sekiranya berlaku penyebaran penyakit dan sebagainya, ia memudahkan kerajaan untuk mengawal keadaan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam mengenai langkah yang akan diambil bagi meningkatkan kepatuhan majikan terhadap peruntukan Akta 446 dan sama ada kerajaan berhasrat meminda dasar bagi mengatasi isu ketidakpatuhan itu.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!