Mayat kanak-kanak lelaki mangsa tragedi banjir di Bentong ditemukan
KUANTAN - Mayat kanak-kanak lelaki dipercayai salah seorang daripada tiga mangsa tragedi banjir lumpur di sebuah resort di Bentong pada Sabtu ditemukan pada Rabu.
Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat jam 10.30 pagi di lokasi kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa kedua itu ditemukan di bawah timbunan kayu.
Menurutnya, pasukan penyelamat terpaksa mengalih sisa-sisa kayu untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang diteruskan hari ini," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam pada Sabtu, tiga mangsa dilaporkan hilang dibawa arus sungai manakala 32 lagi berjaya diselamatkan.
Mangsa pertama, wanita warga emas berusia 66 tahun ditemukan jam 10.15 pagi pada Selasa kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
Mayat mangsa dijumpai pasukan penyelamat di bawah runtuhan kayu balak dan pasir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!