Banjir Kampung Asahan macam lautan

Keadaan banjir seakan lautan di Kampung Asahan di sini pada Rabu.
Keadaan banjir seakan lautan di Kampung Asahan di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk di Kampung Asahan dekat sini menyifatkan kejadian banjir sejak Isnin lalu seperti lautan apabila semua rumah penduduk di kampung itu ditenggelami banjir paras bumbung.

Selain itu, penduduk turut mendakwa banjir di kawasan itu tidak menunjukkan tanda surut apabila ban di kampung itu pecah sehingga mengakibatkan air Sungai Selangor melimpah masuk ke rumah mereka sejak Isnin lalu.

Seorang penduduk, Shahrul Zainal, 40, berkata, kejadian banjir pada jam 4.30 petang Isnin itu sudah memasuki hari ketiga.

"Keadaan bertambah teruk dan kebanyakan rumah penduduk hanya nampak bumbung sahaja pada ketika ini.

"Laluan masuk ke kampung juga terputus hubungan dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan kerana air melimpahi jalan selain arus yang deras," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Shahrul berkata, kejadian banjir disedarinya selepas membaca aplikasi WhatsApp daripada rakannya yang memberitahu kawasan kampung sudah mula dinaiki air.

"Waktu kejadian (Isnin) saya tiada di rumah kerana bekerja di Puncak Alam dan bergegas pulang sebaik mengetahui air mula memasuki ruang rumah.

"Sejurus tiba di rumah, saya meminta ibu dan tiga anak mengosongkan rumah dan kami kemudian terus ke PPS (pusat pemindahan sementara)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semasa kejadian, isterinya tiada di rumah kerana pulang ke kampungnya di Raub pada Sabtu.

"Saya sempat hantar isteri ke kampungnya dua hari sebelum kejadian dan tidak menyangka banjir melanda kampung ini lebih-lebih lagi hampir 30 tahun kawasan ini tidak dinaiki air seteruk ini," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Aslan Ab Ghani, 37, berkata, penduduk seakan tidak bersedia dengan bencana itu yang mengakibatkan kerugian harta benda.

"Kalau tengok keadaan rumah saya hanya nampak bumbung sahaja. Saya tidak tahu bagaimana keadaan barangan perabot dan elektrik pada ketika ini," jelasnya.

Katanya, dia yang menetap bersama isteri di rumah itu menyedari air mula naik secara mendadak pada jam 9 malam Isnin.

"Mulanya saya ingat air naik biasa, tetapi tidak sampai 30 minit paras air naik secara mendadak hingga memaksa kami berpindah ke PPS di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

"Air naik dengan cepat dan keadaan arusnya yang deras menyebabkan kami semua bimbang jika keadaan bertambah buruk," katanya.

Justeru, katanya, dia dan penduduk berharap kerajaan negeri dan Persekutuan mengambil langkah segera bagi menangani kejadian banjir di kampung itu.

"Penduduk kampung memohon jasa baik kerajaan memantau projek-projek di kampung ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa depan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!