Lelaki tidak mengaku salah miliki senjata, hasil penerbitan komunis
IPOH - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan memiliki pelbagai senjata, peluru dan hasil penerbitan larangan yang berunsurkan ideologi komunis dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu.
Leong Yew Chen, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norashima Khalid dan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Di Mahkamah Sesyen, Yew Chen didakwa membawa dan memiliki senjata yang dijadualkan iaitu dua buah besi buku lima di sebuah premis bernombor di Jalan Margosa, Pasir Puteh Ipoh dalam daerah Kinta jam lebih kurang 1.45 petang pada 10 Disember lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada tempat, masa dan tarikh yang sama, lelaki itu turut didakwa memiliki dua butir peluru hidup tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata yang sah.
Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai berdepan tiga pertuduhan yang dilakukan pada tempat, masa dan tarikh yang sama.
Mengikut kertas pertuduhan, Yew Chen didakwa memiliki lapan laras senapang tiruan dan empat pucuk pistol tiruan.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Dia turut didakwa memiliki sepasang gari dan tiga helai baju kalis peluru tanpa kebenaran yang sah di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.
Tertuduh juga didakwa memiliki 14 buku cetakan hasil penerbitan larangan yang berunsurkan ideologi komunis.
Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8(1) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan bagi kelima-lima pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi, Nor Syahirah Azahar dan Fatimah Hannah Abd Wahab.
Dalam prosiding itu, peguam Amrick Singh Sandu yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah membenarkan lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan bagi tujuan pemeriksaan mental.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani penilaian pemeriksaan mental dan menetapkan 21 Januari depan sebagai sebutan semula semua kes.
Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh kerana kes melibatkan Akta Senjata Api.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!