'Tiada hujan, air tetap melimpah'
RANTAU PANJANG - Lebih 1,000 penduduk di sembilan buah kampung di sini terkejut dengan situasi yang menimpa mereka apabila air tetap melimpah sehingga kedalaman 3 meter walaupun sudah tiga hari tiada hujan.
Rata-rata penduduk ditemui melahirkan rasa sedih dan keliru apabila kampung mereka iaitu Padang Licin, Gual Ketereh, Tasek Bakong, Bawah Lembah, Banggol Ubi Keling, Kusar, Tersang, Tok Deh dan Pengkalan Rakit berubah seakan-akan kepulauan.
Wakil penduduk, Amirul Amin Shari, 29, berkata, walaupun sudah sebati dengan banjir saban tahun namun situasi kali ini cukup memeritkan apabila paras air tetap tidak berubah walaupun cuaca baik sejak beberapa hari lalu.
"Sebelum ini hanya beberapa keluarga yang rumah mereka rendah sahaja berpindah, tetapi kali ini boleh dikatakan hampir semua penduduk terpaksa berpindah walaupun rumah tinggi.
"Kami terpaksa memilih untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementera (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok apabila kedalaman air mencecah sehingga 1.5 hingga 3 meter," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Bawah Lembah di sini pada Rabu.
Menurutnya, penduduk mendakwa situasi itu berlaku ekoran pembinaan tebatan banjir yang masih lagi dalam proses iaitu melibatkan kawasan di Sungai Lanchang.
Dakwanya, disebabkan itu mereka percaya kejadian air melimpah yang berlaku disebabkan projek tersebut.
Sementara itu, Khatijah Mohamad, 45, dari Kampung Padang Licin berkata, ini merupakan kali pertama dalam hidupnya dia berpindah.
"Banjir kali ini sangat menakutkan, hujan tidak tapi air tetap mengalir dan makin naik.
"Ramai penduduk kampung termasuk saya memilih untuk berpindah ke Masjid Darul Ihsan Mukim Padang Licin sejak Isnin lalu sebelum apa-apa terjadi kerana air di luar rumah sangat dalam sekitar 3 meter," katanya.
Penghulu Mukim Gual Mesa, Wan Mohd Zin Wan Mohd Jaafar berkata, keadaan masih terkawal dan sebagai pemimpin setempat beliau sentiasa mengadakan rondaan setiap hari menggunakan bot galah untuk memeriksa penduduk yang enggan berpindah.
"Kebanyakan mereka yang tidak berpindah ini rumahnya tinggi tetapi melihat situasi air sekarang saya cuba memujuk mereka untuk berpindah lebih-lebih lagi yang telah uzur dan warga emas serta mempunyai anak kecil.
"Alhamdulillah segala keperluan di PPS Masjid Darul Ihsan Mukim Padang Licin lengkap dan sudah tiga hari seramai 77 mangsa banjir berteduh di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!