'Penduduk Lembah Klang tiada pengalaman banjir, tidak adil salahkan'
SHAH ALAM - Tidak adil untuk menyalahkan dan menyatakan penduduk di pantai barat Semenanjung, khususnya di Lembah Klang tidak bersedia menghadapi bencana banjir kerana kebanyakan mereka tidak pernah berdepan dengan situasi sedemikian.
Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, bencana itu adalah sesuatu yang luar biasa untuk tempoh 40 ke 50 tahun dan kebanyakan mereka pertama kali berdepan situasi sebegini.
Menurutnya, fenomena kali ini adalah janggal dan bukan fenomena biasa, malah hujan kali ini sangat luar biasa.
“Kalau kita lihat apa yang berlaku di pantai timur Semenanjung Malaysia, kejadian banjir adalah disebabkan Monsun Timur Laut. Monsun Timur Laut ini, hujannya sebahagian besar akan turun di pantai timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Monsun ini apabila sampai di Banjaran Titiwangsa, akan hampir hilang airnya dan hanya sipian sahaja yang sampai ke pantai barat.
“Jadi, kita dapat melihat kenapa komuniti di Kelantan, Terengganu dan Pahang amat bersedia kerana mereka bersama-sama dengan monsun ini.
"Mereka sudah berhadapan dan menjadi kebiasaan serta telah mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya dalam Wacana Sinar Siri 312 bertajuk `Bencana: Bantuan sampai lewat?.
Wacana itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Dr Adlina Suleiman dan Timbalan Presiden Malaysia Relief Agency (MRA), Khairil Annuar Khalid.
Jelas Ibrahim, apa yang berlaku sekarang ini ialah apabila lekukan Tropika melalui bahagian tengah Semenanjung dan ia sudah hampir hilang tetapi oleh kerana keadaan di luar jangkaan, Monsun Tropika yang kencang telah mengaktifkan semula lekukan Tropika itu dan menyebabkan hujan yang sangat lebat.
“Kita tidak dapat bayangkan jumlah hujan yang turun di sepanjang Banjaran Titiwangsa. Sungai kita memang dapat menampung dalam keadaan biasa dan di Lembah Klang, pelbagai tindakan tebatan banjir telah dilakukan termasuk pembinaan Terowong Lebuh Raya SMART yang mendapat anugerah antarabangsa.
“Pelbagai pendekatan untuk tebatan banjir juga sudah dilakukan tetapi dengan jumlah hujan yang turun beberapa hari ini, apa sahaja bentuk infrastruktur yang disediakan tidak dapat menampung jumlahnya dan banjir besar ini pasti berlaku,” jelasnya.
Justeru katanya, banyak isu dan pengajaran yang boleh dilihat untuk menjelaskan kepada mereka yang berada di pantai barat, khususnya di Lembah Klang bahawa mereka juga seharusnya bersedia untuk berdepan situasi sebegini.
Selain itu, maklumat-maklumat dan kesedaran kepada masyarakat juga sepatutnya diberikan dengan lebih baik.
“Perkara paling besar yang perlu diberikan perhatian oleh penduduk di Lembah Klang ialah tindakan dan perancangan apabila bencana seperti ini berlaku dan bagaimana kerja menyelamat dilaksanakan.
“Ini semua adalah lanjutan yang mesti dibuat, begitu juga tindakan awal penghindaran meminimumkan risiko,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!