Penduduk buntu air belum surut
SEPANG - Penduduk di Kampung Labu Lanjut dan kawasan sekitarnya di sini buntu berikutan banjir melimpah masuk ke rumah mereka tidak menunjukkan tanda surut sejak Sabtu lalu.
Lebih memeritkan penduduk apabila jalan utama ke kawasan sekitar tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
Seorang penduduk, Mohamad Haidi Sha'arani, 41, berkata, kejadian banjir setinggi satu meter yang melimpah ke kawasan perumahannya di Taman Indah Puteri belum surut akibat limpahan air dari Sungai Langat.
"Air banjir ketika ini masih deras dan kami tidak tahu sampai bila keadaan akan kembali surut meskipun cuaca tidak lagi hujan.
"Ramai penduduk terjejas akibat banjir dan kami amat berharap ada tindakan diambil bagi mengurangkan impak banjir," katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Haidi berkata, buat masa ini, dia bersama isteri dan dua anaknya menumpang di rumah saudara sehingga banjir kembali surut.
Katanya, kerajaan juga dicadangkan untuk melebar dan mendalamkan lagi Sungai Langat bagi menampung kapasiti air di sungai terbabit.
"Kita bimbang apabila kapasiti air terlalu banyak menyebabkan struktur sungai tidak dapat menampung air hingga menyebabkannya melimpah ke rumah penduduk.
"Misalnya, jarak antara Sungai Langat dan rumah saya sendiri hanyalah 500 meter sahaja dan jika ban pecah maka air dari Sungai Langat boleh melimpah masuk ke taman perumahan ini," katanya.
Justeru, penduduk merayu kerajaan dan agensi bertanggungjawab memberi tumpuan kepada usaha menangani banjir di kawasan terbabit.
"Sebelum ini jika tiada hujan pun air boleh naik, apatah lagi jika hujan berterusan air pastinya melimpah ke taman perumahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!