Banjir terburuk, Kampung Batu Kapor, Mentakab tenggelam
SHAH ALAM - Situasi banjir di Kampung Batu Kapor, Mentakab, Pahang semakin buruk apabila keseluruhan rumah penduduk kampung itu habis ditenggelami air.
Seorang penduduk kampung yang ingin dikenali sebagai Apaksun Bahaman, 55, menyifatkan kejadian kali ini merupakan yang terburuk pernah dialami sejak tahun 1971.
Apaksun yang pada Selasa hanya bercadang untuk memberi makan kepada kucing-kucing yang terperangkap di atas atap rumah terkejut dengan keadaan rumah di kampungnya yang habis tenggelam.
“Waktu awal pagi saya nak bagi kucing makan, bumbung masih boleh nampak, tapi apabila pergi kali kedua kira kira-kira jam 3 petang bumbung semua dah tenggelam.
“Bermakna bot yang saya dan anak-anak naik memang lalu atas bumbung-bumbung rumah orang.
“Tahun ini dua kali kami kena banjir, awal tahun dengan kali ini. Tetapi, ini banjir paling buruk seumur hidup saya. Sebelum ini tidak pernah sampai bumbung pun tenggelam.
“Boleh dikatakan hampir 99 peratus harta benda orang kampung musnah sebab rumah tinggi yang dua tingkat pun habis. Situasinya macam di laut, tidak boleh nak buat apa-apa dah, tawakal dan reda sajalah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jelasnya, penduduk Kampung Batu Kapor sebenarnya sudah bersedia menghadapi banjir kali ini berikutan kawasan itu memang selalu berlaku banjir.
Boleh dikatakan, hampir 30 peratus penduduk di sini mempunyai bot sendiri.
Tambah Apaksun, rata-rata penduduk juga sudah mengambil langkah awal untuk berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan, Mentakab.
“Bagaimanapun, ada juga penduduk yang tidak berpindah, misalnya mereka yang duduk di rumah tinggi atas bukit tidak pindah. Tapi tak sangka rumah mereka pun dinaiki air.
“Dahsyatnya banjir kali ini sampai ada dua buah rumah jenis papan yang hanyut beralih dari tempat asal. Nasib baik dia (rumah) itu sangkut di pokok, kalau tidak lagi jauh perginya.
“Alhamdulillah, bot penyelamat dari luar kurang masuk, kalau banyak memang rosaklah atap rumah orang terkena enjin bot. Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang datang pun saya terpaksa ikut dan tunjuk laluan sebab saya tahu rumah siapa yang ada di bawah bot,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!