Banjir: Warga emas ukir senyuman lihat anggota bomba
RANTAU PANJANG - Seorang warga emas di Kampung Padang Licin, di sini mengukir senyuman sejurus melihat kehadiran sekumpulan anggota bomba menghampiri rumahnya yang ditenggelami banjir sejak Jumaat lalu.
Zainun Hassan, 60, berkata, sejak dilanda banjir kawasan kampungnya bertukar menjadi sunyi selepas jiran-jirannya mengambil keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas tidak lagi mampu 'bertahan' dengan kenaikan paras air.
"Apabila saya dengar bunyi bot dan melihat baju celoreng yang dipakai anggota bomba, hati yang sedih bertukar ceria. Lebih-lebih lagi mereka datang bertanyakan khabar dan menghulurkan sumbangan," katanya ketika ditemui pemberita yang mengikuti anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan diketuai oleh Timbalan Pengarah, Penguasa Kanan Bomba I, Anwar Abu Bakar yang melakukan rondaan serta menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang tidak berpindah di Kampung Padang Licin, di sini pada Rabu.
Sebanyak 70 bungkusan berbentuk barangan keperluan dapur disumbangkan oleh Thirdforce Pasir Mas yang diketuai oleh Penyelarasnya, Tuan Zaimah Raja Omar.
Menurut Zainun, ini merupakan kali pertama air naik sehingga hampir menenggelamkan rumahnya yang tinggi.
Tambah Zainun, oleh kerana sudah tiga hari cuaca panas terik, dia dan keluarga mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat, jika hujan berterusan baru mereka akan berpindah.
Bagi seorang lagi penduduk, Mohd Zulkefli Mohd Don, 44, dia sangat gembira menerima kehadiran anggota bomba dan Thirdforce.
"Oleh kerana tidak berpindah saya sudah menyediakan semua kelengkapan makanan dan keperluan lain, sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak menghilangkan rasa takut kami menghadapi banjir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!