Lapan NGO desak henti jual arak di kedai serbaneka
KUALA KANGSAR - Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung bagi mendesak penjualan arak di kedai-kedai serbaneka di sekitar Kuala Kangsar dihentikan.
Pengerusi Jalinan Kasih Islamiah Kuala Kangsar, Izam Jamiri Baharin berkata, desakan itu dibuat kerana minuman keras itu mudah didapati sedangkan majoriti penduduk di Kuala Kangsar terdiri daripada orang Islam malah kebanyakan pekerja kedai serbaneka itu juga adalah Muslim.
Sehubungan itu, kesemua NGO terlibat meminta Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menghentikan pemberian dan tidak memperbaharui lesen bagi menjual arak tersebut.
"Kita rasa sedih sebab ada taman-taman perumahan majoritinya adalah penduduk komuniti Islam, ada kedai-kedai serbaneka yang menjual dan menyediakan minuman arak yang kita rasa memang tidak sepatutnya benda ini berlaku.
"Ada premis serbaneka yang menjual arak ini sangat berhampiran dengan pusat ibadat seperti masjid dan surau," katanya kepada pemberita ketika mengadakan perhimpunan aman bagi membantah penjualan arak di kedai-kedai serbaneka di sekitar Kuala Kangsar di sini pada Rabu.
Sementara itu, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mohamad Nurza'im Ab Sota berkata, Isma sendiri turut memperkenalkan Kempen Komuniti Sejahtera Tanpa Arak.
Menurutnya, usaha yang dirintis itu merupakan tindakan atas kesedaran bahawa arak tidak seharusnya dijual secara terbuka di premis serbaneka.
Jelasnya, dalam memorandum tersebut, kesemua NGO meletakkan resolusi menasihati Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad untuk bertindak dengan kuasa yang diamanahkan agar tidak memperbaharui lesen menjual arak di premis serbaneka.
Sementara itu, Zulqarnain yang ditemui selepas penyerahan memorandum itu berkata, pihaknya akan memperhalusi cadangan dan pandangan dikemukan NGO tersebut.
Katanya, sebarang keputusan bergantung kepada undang-undang di peringkat persekutuan dan enakmen negeri berkaitan penjualan minuman keras itu.
"MPKK bercadang untuk menetapkan premis-premis di bawah kawasan pentadbiran akan disyaratkan untuk tidak menjual arak terutama di kawasan penduduk majoriti Muslim.
"Syarat tambahan lesen ini akan dilaksanakan mulai tahun hadapan secara berperingkat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!