Empat lelaki terkandas 5 hari diselamatkan dengan helikopter bomba

 Empat lelaki selamat dibawa turun menaiki helikopter. - Foto JBPM Negeri Sembilan
Empat lelaki selamat dibawa turun menaiki helikopter. - Foto JBPM Negeri Sembilan
A
A
A

JELEBU - Empat lelaki berjaya dibawa turun menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Rabu selepas mereka terkandas hampir lima hari di Gunung Telapak Buruk di sini akibat hujan lebat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mereka merupakan dua kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan dua pengawal keselamatan masing-masing berumur antara 28 hingga 53 tahun.

"Mereka mendaki gunung tersebut pada Sabtu lalu atas urusan kerja, bagaimanapun, disebabkan cuaca buruk mangsa terputus hubungan dan tidak dapat turun dari gunung tersebut.

"Tambahan pula keadaan laluan yang dipenuhi dengan pokok tumbang dan tanah runtuh sehingga menyukarkan mangsa turun," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.15 pagi Rabu dan usaha menyelamatkan mangsa menerusi jalan darat bermula sejurus pasukan keselamatan tiba.

"Usaha tersebut kemudiannya diteruskan menggunakan bantuan unit helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang pada jam 3 petang tadi.

"Mangsa berada dalan keadaan selamat namun salah seorang daripadanya mengalami kecederaan dan terseliuh di bahagian kaki, mereka kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pantai, Seremban," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!