600 nelayan terima lesen khas sampan
KEMAMAN - Seramai 600 nelayan di daerah ini menerima lesen khas nelayan sampan yang diserahkan kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (Terengganu).
Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebelum ini pihaknya berusaha mendapatkan lesen khas terbabit bagi memberi peluang kepada nelayan-nelayan negeri ini agar rasa lebih selamat dan bebas untuk menangkap ikan.
"Dengan adanya lesen khas ini maka dapatlah nelayan menikmati beberapa kemudahan daripada kerajaan negeri dan mereka dapat turun dengan tenang ke laut serta tidak dinafikan daripada mendapat elaun sara hidup nelayan, bantuan bencana dan sebagainya.
"Saya berharap dengan usaha tersebut sektor perikanan di negeri ini akan berkembang dan hasil tangkapan yang didaratkan akan dapat direkodkan," katanya kepada pemberita selepas ditemui sempena Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) Pulau Skepeng pada Isnin.
Sepanjang tahun ini, seramai 415 nelayan di negeri itu sudah menerima manfaat daripada agihan bantuan peralatan seperti 'fishfinder', kawat bubu, pukat tangsi dan kit memancing.
Dalam pada itu, Azman berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya telah mengadakan perlepasan 1.36 juta benih ikan pelbagai spesies ke perairan umum seperti baung, udang galah, sebarau, kelah dan patin selain penyerahan daripada Bantuan Tabung Bencana Pertanian berjumlah RM84,500 melibatkan 70 penternak ikan.
"Selain itu, menerusi sokongan Dana Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) berjumlah RM1,331,440 telah diserahkan kepada 57 penternak akuakultur di negeri ini sepanjang tahun ini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!