Siren amaran cetus waspada dalam kalangan penduduk

Stesen Siren Kampung Talang Masjid, di sini mengeluarkaan bunyi amaran apabila air sungai melepasi paras bahaya pada malam Selasa.
Stesen Siren Kampung Talang Masjid, di sini mengeluarkaan bunyi amaran apabila air sungai melepasi paras bahaya pada malam Selasa.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Bunyi siren amaran di Stesen Siren Kampung Talang Masjid, di sini pada malam Selasa berikut peningkatan paras air Sungai Lawin meletakkan penduduk dalam situasi waspada.

Kejadian yang tular sejak malam tadi itu juga menyaksikan berlaku limpahan air sungai di jalan dan jambatan berhampiran Kampung Talang Hulu serta sekitarnya.

Susulan limpahan air sungai itu juga, beberapa kawasan berhampiran sungai turut mengalami banjir, namun penduduk sempat menyelamatkan barang-barang berharga.

Rumah Saiful Nizam Mohd Yazid, 40, antara yang ditenggelami air kira-kira 0.2 meter kerana kediamannya paling hampir dengan sungai.

Menurut Saiful Nizam yang tinggal bersendirian di rumah itu, air mula naik sekitar jam 11 malam susulan hujan lebat di kawasan hulu sungai menyebabkan tikar getah dan almari di rumahnya antara barang-barang yang rosak.

"Ketika kejadian saya memang ada di rumah tak ke mana-mana sebab sebelum itu hujan. Kemudian kawan-kawan suruh berjaga-jaga sebab kawasan mereka yang terletak berhampiran hulu sungai air dah naik.

"Jadi, saya selamatkan dahulu barang-barang elektrik dan dokumen penting ke tempat tinggi supaya tak rosak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Talang Hulu, di sini pada Rabu.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih buruk apabila tebing yang ditambak sebelum ini rebak akibat air deras menyebabkan limpahan air masuk dengan cepat dan banjir tersebut surut sepenuhnya sekitar jam 4 pagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) turut dinaiki dalam kejadian banjir kilat di Kampung Talang Masjid, di sini.

Pengurus Pasti Nurul Hidayah Kampung Talang Masjid, Azhar Mohd Din berkata, ketika kejadian itu, penduduk berhampiran mendengar bunyi amaran siren tersebut sebanyak dua kali.

Menurutnya, bunyi siren kali pertama sekitar jam 9.30 malam dan disusuli bunyi siren kedua tidak lama selepas itu.

"Air sungai melimpah ke sehingga ke dalam bilik kelas Pasti kira-kira jam 12 malam dengan lantai dipenuhi lumpur selepas surut.

"Cuma kali ini air tidak naik terlalu tinggi seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan dengan bantuan pelbagai pihak," katanya.

Menurutnya, banjir tersebut berlaku dipercayai disebabkan hujan lebat sejak jam 5 petang sehingga 9.30 malam Selasa.

Azhar bagaimanapun bersyukur kejadian banjir kilat itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kemusnahan harta benda yang serius.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!