Khidmat percuma lupus al-Quran rosak akibat banjir
CHERAS - Masjid Al-Amin Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras menawarkan khidmat percuma kepada masjid dan surau sekitar Hulu langat untuk melupuskan al-Quran yang rosak akibat ditenggelami air dalam bencana banjir pada Sabtu.
Briged Tengah PGA dalam satu kenyataan berkata, dianggarkan 500 naskah al-Quran yang ditenggelami air lumpur dari Masjid Al Ehsan Sungai Serai Hulu Langat telah dibawa ke Masjid Al-Amin PGA Cheras untuk proses pelupusan pada Rabu.
"Pelupusan ini dilakukan dengan menggunakan mesin relau yang akan membakar bahan-bahan tersebut sehingga menjadi abu kemudian abu tersebut kita akan campurkan dengan air dan akan disalurkan ke sungai," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Masjid Al-Amin Briged Tengah PGA Cheras merupakan sebuah masjid yang dikawal selia oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
"Selain untuk menunaikan ibadah, Masjid Al-Amin PGA Cheras telah mengambil inisiatif untuk membantu menyelesaikan kemaslahatan ummah dengan mewujudkan tempat pelupusan al-Quran, kitab-kitab dan bahan-bahan hiasan kayu yang berkaitan dengan ayat-ayat al-Quran yang mula beroperasi sejak Mac lalu," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!