Perkeso bayar RM679,568 kepada pesakit Covid-19
KOTA BHARU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan sudah membayar faedah berjumlah RM679,568.37 kepada 1,175 pencarum yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja bermula Mac hingga Rabu minggu lalu.
Jumlah faedah yang dijelaskan itu termasuk melibatkan 37 kes kematian akibat pandemik berkenaan.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, Kelantan menerima 2,446 permohonan daripada pencarum sehingga 15 Disember lalu bermula daripada tempoh skim diperkenalkan pada Mac lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,175 pencarum sudah menerima faedah termasuk 37 kes tuntutan membabitkan pencarum yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di tempat kerja.
“Selebihnya, sejumlah 1,175 masih dalam proses permohonan tuntutan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM)," katanya selepas Majlis Penutup Karnival Jamin Kerja Peringkat negeri Kelantan di KPTM Kota Bharu, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Wilayah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) Kelantan, Azyyati Ibrahim dan Penolong Pengurus Pembangunan Modal Insan (Pembuatan) Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azlihafiz Muhammad dan Pengarah KPTM Kota Bharu, Raja Izuddin Raja Ahmad.
Nora turut memberitahu, sehingga bulan lalu seramai 5,131 pencarum hilang pekerjaan akibat Covid-19 dan menerima faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) daripada Perkeso Kelantan.
“Mereka menerima elaun mencari pekerjaan dan elaun bekerja awal mengikut gaji bulanan semasa bekerja sebelum itu.
“Pembayaran dibuat dengan kadar 80 peratus pada bulan pertama, 50 peratus bulan kedua dan ketiga serta 30 peratus pada bulan keempat dan kelima,” katanya.
Mengulas mengenai karnival yang berlangsung selama dua hari itu, Nora berkata, sejumlah lebih 300 pencari kerja mendapat pekerjaan dalam bidang automotif yang ditawarkan oleh 18 majikan di negeri ini.
“Karnival dianjurkan oleh MITI melalui Perkeso dan MARii dengan penglibatan KPTM Kota Bharu sebagai tuan rumah.
“Sebanyak 1,838 peluang pekerjaan ditawarkan dengan sesi temuduga diadakan secara bersemuka dan secara dalam talian sekali gus menempis tanggapan peluang pekerjaan sukar di Kelantan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!