Tiada keperluan adakan PRK DUN Kempas: SPR

Kenyataan akhbar oleh Ikmalrudin pada Rabu.
Kenyataan akhbar oleh Ikmalrudin pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyatakan bahawa tiada keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka di Dewan Undangan Negeri Kempas ekoran kematian penyandangnya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Osman Sapian.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kempas tidak akan dijalankan melainkan sekiranya Speaker DUN Johor memberitahu secara bertulis untuk ia diadakan.

“SPR mengambil maklum berhubung status kekosongan luar jangka kerusi DUN Kempas, ekoran penyandangnya Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember 2021 (Selasa).

“Sehubungan itu, di bawah Perkara 23(5) Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang- Undang Tubuh Kerajaan 1895, kekosongan sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh yang dipastikan oleh SPR kekosongan berlaku.

“Seandainya kekosongan luar jangka dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh dewan negeri akan terbubar, maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan jika Speaker memberitahu SPR secara bertulis,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

SPR turut menyatakan bahawa pihaknya sedang menunggu pengesahan daripada Speaker DUN Johor mengenai keperluan mengisi kekosongan luar jangka tersebut.

Osman Sapian 69, disahkan meninggal dunia di kediaman anaknya di Damansara, Kuala Lumpur kira-kira jam 11.45 malam pada Selasa.

Susulan daripada itu, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat pada Rabu menjelaskan bahawa PRK DUN Kempas tidak perlu diadakan kerana kekosongan itu berlaku lebih tiga tahun daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!