Mayat dua beranak ditemui di Taman Sri Muda
SHAH ALAM - Mayat dua beranak ditemui di lokasi banjir di Taman Sri Muda di Seksyen 25 pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pertambahan dua mangsa itu menjadikan korban akibat banjir di daerah ini kini berjumlah 14 orang membabitkan lapan lelaki dan enam wanita.
"Dua mangsa berkenaan adalah seorang lelaki berusia 76 tahun dan anak perempuannya, berusia 48 tahun yang ditemui di dalam sebuah rumah teres setingkat," katanya pada sidang akhbar pada di Pusat Kawalan Tempat Kejadian 1 (PKTK1) di Taman Sri Muda Seksyen 25 pada Rabu.
Baharudin berkata, pihaknya mendapat makluman daripada keluarga terdekat yang tidak dapat menghubungi dua beranak itu sejak banjir melanda kawasan tersebut.
"Pasukan yang membuat pemeriksaan di rumah mangsa berdasarkan alamat yang diberikan telah menemui mayat dua beranak itu pada jam 1.40 tengah hari tadi," katanya.
Beliau berkata, sehingga kini tiada laporan diterima mengenai orang hilang susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.
"Kita akan melaksanakan pemeriksaan dari kawasan ke kawasan berdasarkan maklumat dari orang awam termasuk jiran atau keluarga terdekat mangsa banjir," katanya.
Baharudin memaklumkan bahawa sejumlah 4,276 mangsa banjir direkodkan di daerah ini dan 4,080 dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala selebihnya memilih lokasi sendiri seperti berpindah ke rumah saudara atau keluarga terdekat.
Dalam kes berasingan Baharudin memaklumkan pihaknya ada menerima 10 laporan mengenai jenayah pecah kedai di Taman Sri Muda.
"Antara yang dipecah masuk adalah kedai serbaneka, kedai perkakasan serta sebuah restoran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!