Bantuan lanjutan ringankan beban Keluarga Malaysia

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mengumumkan bantuan lanjutan daripada inisiatif terdahulu termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 untuk setiap ketua isi rumah, bagi membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan berkenaan diberikan setelah mengambil kira kepayahan dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh Keluarga Malaysia akibat terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini.

Ujarnya, agensi kerajaan dan sektor perbankan akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat dan perniagaan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan akibat bencana banjir.

“Bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

“Antara kemudahan termasuklah penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, antara bantuan lain adalah pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

“RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana.

“Moratorium enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa- mangsa banjir di seluruh negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional turut mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan.

Menurutnya, bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (Disaster Relief Facility, DRF 2022).

“BNM juga sedang berusaha untuk menambah peruntukan ke atas DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini, daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!