Tragedi Bentong: SAR seorang lagi mangsa di tepi hutan berhampiran

Anggota JBPM serta anggota PDRM ketika operasi mencari dan menyelamat di Bobby Eco Farm Resort hari ini. - Foto Bernama
Anggota JBPM serta anggota PDRM ketika operasi mencari dan menyelamat di Bobby Eco Farm Resort hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang dikhuatiri hilang dibawa arus sungai di kawasan calet pusat peranginan di Bentong pada Sabtu lepas, akan difokuskan kepada kawasan tepi hutan berhampiran Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur esok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, pihaknya percaya mangsa lelaki itu berkemungkinan berada berdekatan kawasan berkenaan namun terdapat kesukaran mencarinya memandangkan kawasan itu terdapat pasir jerlus, longgokan kayu-kayan dan ia masih dipenuhi air.

"Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.30 petang tadi dan akan bersambung jam 8.30 pagi esok," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Setakat ini, dua mayat ditemukan iaitu seorang wanita dikenal pasti sebagai Yap Koon Lau dan satu mayat kanak-kanak lelaki.

Pada Sabtu lepas, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dalam kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi sebuah kawasan calet di Bentong.

Susulan itu, seorang kanak-kanak dikenali sebagai Emmanuel Chang serta pasangan suami isteri Bobby Lim Yoke Hoong dan Yap dilapor hilang dalam tragedi itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir: SAR dua lagi mangsa disambung esok

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!